MERANCANG PERUBAHAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:13)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

Perubahan akan terus berlangsung, sama ada bersama kita atau tanpa kita. Orang yang dapat bersama-sama dengan arus perubahan, tentunya lebih bersedia dan beruntung, daripada mereka yang tidak bersedia menerima perubahan atau terpaksa menerima perubahan.

Perubahan yang dipaksakan ke atas kita adalah suatu yang amat menyiksakan, kerana kita terjebak dengan suatu keadaan yang tidak disangka-sangka. Contohnya pekerja yang secara tiba-tiba diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi. Jika beliau tidak cukup bersedia, maka kesan perubahan (tanpa pekerjaan) pastinya amat besar. Tekanan emosi dan perasaan pasti menyesakkan dada, belum lagi tekanan kewangan, tiada pendapatan, hutang-piutang yang tidak dapat diuruskan, keperluan hidup dan nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Lebih perit lagi jika diberhentikan kerja menjelang hari perayaan.

Begitu juga dengan organisasi atau Negara yang tidak bersedia dengan ‘perubahan yang dipaksakan’ ini. Jika kita lihat krisis ekonomi yang pernah melanda dunia pada tahun 1997 dahulu, ketika itu banyak negara yang terkesan dengan teruk lantaran perubahan yang berlaku adalah amat mendadak sifatnya. Saat itu, berapa ramai yang kehilangan pekerjaan, syarikat yang gulung tikar, ekonomi merudum, pasaran saham jatuh, orang kaya terpaksa menjadi muflis, dan hutang bank yang tidak dapat dilunaskan (NPL). Dikhabarkan tidak kurang yang membunuh diri kerana tekanan ini, atau mendapatkan rawatan pesakit jiwa kerana krisis tersebut. Inilah contoh jika perubahan berlaku tanpa kita bersaedia menerimanya, atau ‘perubahan yang dipaksakan’.

Perubahan yang dipaksakan ke atas organisasi atau masyarakat, pastinya akan mengundang protes atau penentangan. Di sana ada kata-kata hikmah yang berbunyi ‘manusia akan memusuhi sesuatu yang tidak diketahuinya’, atau ‘semakin banyak perkara yang tidak jelas tentang sesuatu, semakin sukar kita menerimanya’. Justeru, untuk sesuatu perubahan berlaku dengan tertib dan mendapat penerimaan, perlu ada persediaan untuk menerima perubahan tersebut. Ini yang kita sebut sebagai Qabil litTaghyir (Bersedia Berubah) di dalam artikel yang lalu.

Justeru, untuk meminimakan protes atau bantahan terhadap sesuatu perubahan, para pendokong perubahan (agen perubahan) perlulah melakukan beberapa proses agar perubahan yang ingin dilaksanakan akan mendapat penerimaan masyarakat. Bahkan tahap tertinggi yang perlu diusahakan adalah apabila kita dapat merancang perubahan.

Perubahan yang dirancang akan dapat mengurangkan tekanan atau kesan yang tidak diingini oleh mereka yang menerimanya. Contoh, jika seorang pekerja memang telah membuat persediaan untuk menghadapi krisis ekonomi, maka dia mungkin akan membuat perancangan untuk berubah.
Perancangan mungkin dalam bentuk berusaha mencari pekerjaan lain atau merancang memulakan perniagasan sendiri atau sekurang-kurangnya membuat persediaan diri untuk menerima yang terburuk (prepare for the worst) yang mungkin menimpa dirinya. Dengan persediaan ini, maka tahap kesengsaraan atau kesusahan akan dapat dikawal dan dikurangkan, berbanding dengan ‘perubahan yang dipaksakan’ seperti di atas tadi.

Yang lebih indah lagi adalah jika kita mengambil sikap proaktif dengan menjadi perancang dan penjana perubahan. Berapa ramai tokoh-tokoh yang muncul sepanjang sejarah, adalah mereka yang menjadi perancang dan penjana perubahan. Semua para Nabi dan Rasul, terutama Rasulullah Muhammad SAW, adalah merupakan mereka yang merancang dan melaksanakan perubahan kepada masyarakat. Begitu juga senarai pejuang, tokoh bangsa, pemimpin negara, Perdana Menteri, Presiden dan sebagainya, adalah mereka yang menulis sejarah, atau dikenang kerana perubahan yang mereka lakukan.

Umat Islam perlu kembali menjadi umat yang merancang perubahan, bukan sekadar menerima perubahan. Inilah rahsia keagungan Generasi Awal Islam, semasa zaman Rasulullah, Khulafa ‘urRashidin, dan Khilafah Islam selepas mereka. Mereka adalah generasi yang mencipta perubahan, merancang dan melaksanakannya, bukan hanya berserah kepada perubahan yang dipaksakan.

Kebangkitan semula Islam perlu dirancang. Perubahan Islam yang ingin dilaksanakan pada hari ini juga perlu perancangan. Kita perlu menjadi Arus yang merubah masyarakat, bukan buih yang dihanyutkan arus.

Untuk merancang perubahan, memerlukan beberapa proses:
1. Analisa Jurang
2. Penentuan Matlamat
3. Penetapan Laluan dan Marhalah
4. Perancangan Strategi
5. Penilaian (Muhasabah) dan Penambahbaikan

Analisa Jurang perlu untuk menilai jurang antara keadaan kini, dengan cadangan perubahan yang dihajatkan. Contohnya, seorang yang bekerja sebagai buruh kasar, tetapi bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya, maka perlu menilai jurang antara posisi kini (buruh) dengan menjadi usahawan. Dia harus menilai jurang modal yang perlu dikumpul, jurang ilmu dan pengalaman, jurang jaringan perniagaan dan sebagainya. Dengan meneliti semua ini, maka langkah-langkah seterusnya dapat dilakukan dengan betul.

Setelah mengenalpasti jurang yang perlu diatasi, maka matlamat perubahan dapat digariskan dengan betul. Contohnya, buruh tersebut akan meletakkan matlamat mengumpul sejumlah modal dalam tempoh tertentu, berusaha mengikuti kursus atau latihan kemahiran yang diperlukan, dan merancang tapak perniagaan yang akan dimulakan.

Apabila matlamat telah ditetapkan, maka laluan untuk mencapainya juga perlu dirangka. Mungkin ada laluan pantas tetapi sukar, ataupun laluan mudah tetapi panjang dan jauh. Tidak mustahil juga akan temui laluan yang panjang dan sukar. Ini semua memerlukan perjuangan dan usaha untuk melaluinya.

Untuk mencapai matlamat, maka diperlukan strategi yang bijak dan berhasil. Pelbagai kaedah dan cara perlu dilakukan agar matlamat dapat dicapai. Sepanjang proses tersebut, muhasabah, penilaian semula dan penambahbaikan mungkin diperlukan terhadap kesemua proses di atas.

Inilah secara ringkas perancangan perubahan yang perlu, agar kita menjadi peneraju perubahan. Organisasi yang berjaya merancang perubahan, pastinya akan menjadi peneraju kepada perubahan di dalam masyarakat. Begitu juga individu yang bersedia dan merancang perubahan, akan dapat menguruskan perubahan dan kehidupannya dengan lebih baik dan berjaya.

Marilah kita bersedia berubah, dan yang lebih penting, merancang perubahan yang kita inginkan. Jangan biarkan diri kita dipaksa menerima perubahan yang tidak diinginkan.

0 Response to "MERANCANG PERUBAHAN"

Post a Comment

Powered by Blogger