MENJANA MINDA POSITIF
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias
Bila bicara soal perubahan, kita seringkali cuba mengaitkan perubahan dengan Minda Positif. Kenapa? Kerana Positif itu, jika di segi matematiknya pun sudah diberi tanda ‘+’, berbanding Negatif yg diwakili oleh simbol ‘-‘. Simbol Negatif, dalam sebutan ilmu hisab melayu diungkap dengan kalimah ‘Tolak’. Nah, jelas sekali Minda Negatif adalah minda yang ‘menolak’ perubahan. Justeru, lawannya yakni Minda Positif adalah minda yang menerima (campur) perubahan.
Untuk melatih minda kita agar dapat menerima perubahan, maka ada baiknya kita memahami faktor-faktor yang menyebabkan ‘penolakan’ terhadap sesuatu perkara tersebut. Secara umumnya, ada tiga faktor utama mengapa sesuatu perubahan itu ditolak; a) Berada di Zon Selesa, b) Lemahnya Himmah dalam diri, dan, c) Tekanan luaran.
Faktor pertama dan utama yang menjadi alasan penolakan terhadap sesuatu perubahan adalah Zon Selesa (Complacent). Apa itu Zon Selesa? Ianya adalah keadaan seseorang atau sesuatu yang telah berada pada tahap stabil, selesa, tiada ancaman dan menyeronokkan. Contohnya, seseorang pekerja yang telah bertugas di sesebuah organisasi untuk beberapa waktu, tentunya telah terbiasa dengan budaya dan cara kerja organisasi tersebut. Beliau juga mungkin telah mencapai tahap kemajuan kerjaya tertentu, telah diberi pangkat dan jawatan yang agak baik, dengan bayaran gaji, elaun dan kemudahan yang juga baik. Beliau mungkin telah membeli rumah berdekatan dengan tempat kerjanya, dan kini hanya mengambil masa lima minit sahaja memandu untuk tiba ke pejabat. Kedudukan kewangan yang baik ini juga membolehkan beliau memiliki kenderaan yang baik, dan memenuhi keperluan keluarga dengan sempurna. Anak-anaknya juga bersekolah di sekolah yang berhampiran, dan setiap hari isterinya akan menguruskan urusan persekolahan anak (kerana isteri tidak perlu lagi bekerja, kerana pendapatan suami sudah memadai untuk menyara keperluan keluarga).
Dalam situasi di atas, pekerja berkenaan boleh lah dikatakan telah mencapai tahap Zon Selesa, iaitu kehidupan ini telah menjadi begitu selesa dan memuaskan baginya. Beliau tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan kemajuan kerjaya, kerana laluan kerjayanya seperti telah terbentang luas. Begitu juga perkembangan keluarga, khususnya anak-anak, telah terjaga, dan segala keperluan asas hidup seperti rumah, kenderaan dan sebagainya telah terpenuhi. Maka apakah lagi yang dicari dalam hidup ini? Mengapa perlu keselesaan ini dipertaruhkan untuk sesuatu yang lain? Semestinya tidak terlintas lagi di kotak fikirannya untuk mencari kejaya baru, atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kebahagiaan rumahtangga dan keluarganya. Jauh sekali untuk beliau melibatkan diri dalam urusan atau kegiatan yang boleh merosakkan kerjaya dan masa depannya. Lantaran itu, Zon Selesa ini seolah-olah telah merantai kakinya daripada melakukan perubahan atau tindakan yang boleh menganggu-gugat keselesaan yang sedang dikecapinya.
Mereka yang terperangkap di dalam Zon Selesa, selalunya sukar berubah atau menukar gaya hidupnya. Bayangkan jika tiba-tiba organisasi tempat kerjanya tutup atau berpindah, amat sukar untuk mereka menerimanya. Perubahan menjadi suatu yang amat memeritkan dan payah kepada mereka, dan tekanan yang dihadapi juga akan lebih tinggi.
Seperkara lagi, berada di Zon Selesa akan melahirkan faktor kedua dalam menolak perubahan, iaitu ‘Lemahnya Himmah Diri’. Himmah bererti kekuatan dalaman yang menjadi pendorong kepada keberhasilan dan pencapaian sesuatu matlamat dan tujuan. Himmah yang tinggi akan mendorong pemiliknya untuk lahir sebagai pejuang sejati, yang sanggup berkorban mempertahankan keyakinan dan jati dirinya menghadapi cabaran luar. Himmah juga adalah rahsia kejayaan semua pejuang dan juara sepanjang lintasan sejarah. Di sana ada kata-kata yang diungkapkan “Sesuatu perjuangan itu pasti dimulai oleh Sang Pemberani”. Kenapa? Hanya mereka yang berani, punyai himmah yang tinggi sahaja akan sanggup keluar dari zon selesanya untuk menerajui sesuatu perubahan yang dihajatkan.
Lantaran itulah, sejarah seringkali mengajar kita bahawa pengikut dan pendokong setia para Nabi dan Rasul, kebanyakannya adalah dari kalangan Mustadh’afin (mereka yang dhai’f atau lemah), dari golongan hamba, miskin dan faqir, atau bukan di kalangan tokoh dan pemuka masyarakat. Ini adalah kerana, golongan ini tidak berada di zon selesa, himmah mereka untuk memajukan diri adalah tinggi, dan kesanggupan mereka mengorbankan harta bahkan nyawa untuk sebuah perjuangan adalah mutlak, kerana ‘they have nothing to lose’!
Amat berbeza sekali dengan para al-Mala’ atau pemuka dan tokoh masyarakat, seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan sendiri. Da’wah dan perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dilihat sebagai sesuatu yang boleh menganggu-gugat kuasa dan penguasaan mereka ke atas masyarakat. Jika menyahut seruan perubahan, mereka mungkin kehilangan pengaruh, jawatan dan pangkat, maka hilanglah zon selesa mereka.
Fenomena ini tetap berlaku pada zaman ini. Ini lah yang melahirkan kelesuan di dalam masyarakat moden kini, yang hidupnya sekadar berjuang mengisi perut dan tembolok, menambah kekayaan, pangkat dan gelaran, menggapai mimpi indah di buai nafsu dan syahwat, maka hanyutlah umat kini dalam zon selesa. Maka semangat juang untuk menegakkan kebenaran akan pudar, daya juang akan lemah, himmah dan harga diri akan tergadai dan runtuhlah sistem kehidupan bermasyarakat di atas asas Iman dan Islam. Cabaran dan tekanan ini akan lebih dirasai semakin seseorang itu mendaki tinggi ke puncak zon selesanya. Semakin besar pangkat, semakin tinggi jawatan, semakin banyak gaji, maka semakin sukar lah berbicara soal perjuangan. Inilah di antara mehnah dan fitnah yang banyak menggelincirkan para du’at dan pejuang sejati. Jika dahulu, peringkat awal perjuangan, ujian-ujian ini belum ditemui, zon selesa masih belum dikecapi, rantai pangkat dan jawatan belum kuat mengikat, para pejuang begitu aktif di medan. Namun, beringatlah kalian, awas lah akan ujian dan tipu helah dunia ini.
Faktor pertama dan kedua yang dibincangkan, lebih menjurus kepada mereka yang ingin menjadi Agen Perubahan. Justeru, jika kita ingin menjadi Agen Perubahan atau Anasir at-Taghyir, maka kita perlu punyai himmah yang tinggi yang bisa mengangkat darjat kita keluar dari zon selesa yang menjerat ini. Inilah antara ciri-ciri Muslim sejati, yang diungkapkan di dalam Al-Quran sebagai mereka yang tetap beriman dan bersabar, sama ada dalam susah atau senang.
Adapun faktor ketiga iaitu Tekanan Luar akan terkesan kepada masyarakat umum. Ia berkait rapat dengan pengaruh luar dari media, sebaran mahupun jentera propaganda tertentu. Masyarakat akan mudah tertipu dan terpengaruh dengan mainan media dan sebaran. Begitu juga tekanan masyarakat sekeliling, jiran tetangga, kaum kerabat, rakan sepejabat, hatta takanan majikan, atau pihak yang memiliki kekuasaan atas seseorang, pastinya memberi impak dan kesan terhadap penerimaan sesuatu perubahan.
Tekanan luar ini sebenarnya ibarat pisau yang tajam, bergantung kepada tangan yang memegangnya. Jika digunakan dengan baik, pisau ini banyak kebaikannya, dan sebaliknya jika jatuh ke tangan yang tidak bertanggungjawab, akan mendatangkan huru-hara dan kecederaan. Tidak dinafikan berlaku di dalam catatan sejarah, betapa berlakunya beberapa arus perubahan di dunia ini, kesan dari pengaruh dan tekanan luar yang memihak kepada perubahan tersebut. Maka, para pejuang dan pendokong perubahan, perlu bijak menilai, meneliti dan menguruskan elemen-elemen tekanan luar ini, agar dapat disalurkan secara positif dan akhirnya menjadi arus yang menghasilkan perubahan yang dicita-citakan.
Akhirnya, renungilah apa yang telah kita pelajari dari Fizik. Jasad yang pegun dan stabil di puncak bukit, tidak akan bergolek ke bawah, melainkan diberikan sedikit tolakan atau ‘tekanan’ daya luar. Apabila ditolak, tenaga inertia dan keupayaan yang tersimpan di dalamnya akan memacu jasad itu untuk bergolek ke bawah dengan lajunya. Inilah gambaran perubahan, dengan daya luar yang betul, diadun dengan himmah dalaman dan keberanian keluar dari zon selesa (stabil), maka perubahan akan dapat digerakkan. Justeru, mari kita jana minda positif untuk menghadapi faktor-faktor penghambat perubahan ini.
0 Response to "MENJANA MINDA POSITIF"
Post a Comment