BERSEDIA UNTUK BERUBAH
Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:15)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias
Di dalam siri yang lalu, kita pernah perkatakan bahawa untuk melakukan perubahan, diperlukan dua rukun iaitu: Qabil at-Taghyir (bersedia untuk menerima perubahan) dan Anasir at-Taghyir (agen perubahan).
Bagaimanakah yang dikatakan ‘bersedia menerima perubahan’ tersebut? Atau kita mungkin mahu menyoal diri kita, apakah aku bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan? Apakah persediaan yang diperlukan untuk melakukan perubahan?
Di antara persediaan yang dimaksudkan adalah persediaan Minda, Hati, Kefahaman dan Rakan-sepasukan. Dalam ertikata lain, sebelum kita melakukan perubahan samada ke atas diri kita, rakan atau persekitaran, kita perlu persiapkan terlebih dahulu minda dan hati kita. Minda dan hati perlu dilatih untuk berubah. Perubahan itu pula perlu dibuat dengan penuh kefahaman dan kesedaran, dan jika melibatkan perubahan yang besar, maka faktor sokongan rakan-sepasukan amatlah penting.
Perubahan yang dipaksakan, tanpa persediaan minda dan hati, adalah hampir mustahil akan berhasil, ibarat cubaan mengubah gunung yang besar. Ini adalah kerana, jika minda telah terbelenggu dengan sesuatu kebiasaan atau kepercayaan, maka amat sukar untuk kita meminta seseorang berbuat sesuatu yg berlainan daripada keyakinan mindanya. Inilah yang disebut sebagai Revolusi Mental oleh seorang pemikir tanah air sedikit masa lalu. Jika kita ingin mengubah masyarakat, maka mental dan minda umat perlu dibina dan diasuh terlebih dahulu.
Contohnya, ketika Inggeris menjajah kita dahulu, masyarakat telah dimomokkan dengan kepercayaan bahawa sektor pekerjaan adalah berdasarkan kaum dan keturunan. Maka dimasyhurkan bahawa orang melayu kerjanya sebagai petani di sawah, atau nelayan di laut, atau jika lebih sedikit pembelajarannya, sekadar menjadi pekerja di jabatan kerajaan. Kaum India pula digambarkan oleh Inggeris sebagai pekerja ladang yang gigih, serta bagus dalam sektor perkhidmatan awam, manakala kaum Cina dipotretkan oleh Inggeris sebagai peniaga, pelombong dan peneroka bandar yang berjaya.
Perangkap minda ini telah memenjarakan minda rakyat negara ini untuk sekian lamanya, hingga lahir beberapa generasi yang amat sukar dibina kembali keyakinan jati-dirinya untuk mencapai kejayaan di dalam sektor-sektor yang lain dari tradisi peninggalan Inggeris.
Pernah satu ketika, jika ada orang melayu yang ingin berniaga, pasti akan ditertawakan oleh rakan-rakannya, bahkan akan dipersenda dan diperlekehkan bakat dan kebolehannya. Begitu juga pada satu zaman dahulu, amat sedikit mereka yang menceburi kerjaya profesional kerana sukarnya untuk merobohkan tembok minda yang telah lama terbina.
Maka, untuk mengubah seseorang, persediaan dan kekuatan minda adalah amat kritikal. Seorang anak yang dari kecil dibiasakan dengan ‘takut kepada gelap’, maka sifat takut itu akan terus diwarisi bahkan semakin membiak sehingga dewasa. Anak itu akan membentuk sikap penakut, tidak berani mencuba, khuatir akan perkara yang tidak pasti, takut kepada bayang-bayang dan pelbagai lagi imaginasi ganas dan ngeri yang mungkin menghantui kotak pemikirannya. Inilah penjara dan tembok minda yang pastinya merantai potensi diri anak itu dari terus mencuba untuk berjaya.
Justeru, kita perlu persiapkan minda anak itu untuk berani meghadapi perubahan. Jika gelap, nyalakan lampu. Jika ada halangan, cari jalan lain untuk mengelakkannya. Jika ada masalah, selesaikan, bukan lari dari masalah. Jika tidak cukup ilmu, belajar lah. Jika jahil, jangan malu bertanya.
Minda yang ingin bebas dari ‘kongkongan kegelapan’ ini akan membentuk budaya positif dalam diri seseorang, dan persiapan minda positif inilah yang akan menjadi tapak untuk sesuatu perubahan positif itu berlaku. Seperti juga bangunan, semakin besar dan tinggi bangunan yang ingin didirikan, maka semakin luas, besar dan kukuh tapak yang perlu dipersiapkan.
Maka, jika kita ingin melakukan perubahan yang besar, hebat dan berimpak tinggi dalam kehidupan kita, maka persiapan minda juga perlu seiring, sama besarnya, tidak kurang hebatnya dan mesti memberikan impak yang amat tinggi terhadap diri kita.
Membina dan menjana minda positif ini adalah satu perkara yang amat penting. Pakar-pakar motivasi timur dan barat, muslim dan non-muslim semuanya sepakat memperkatakan mengenai keutamaan menjana minda positif ini. Ini adalah kerana, minda yang positif menjadi tapak pelancaran sesebuah roket menuju kecemerlangan.
Pepatah melayu telah lama mengajar kita; ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, atau ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’.
Kedua-dua pepatah lama ini memberikan satu nilaian yang tinggi terhadap pentingnya menjana dan mencerna minda yang positif sebelum kita melangkah ke satu perubahan, cabaran dan usaha yang besar.
Jika kita ingin menakluki laut dan pantai, maka kita perlu buangkan perasaan takut dilambung ombak. Inilah yang dikatakan persiapan minda, persediaan minda untuk menerima hakikat bahawa jika kita membina rumah di tepi pantai, maka pasti akan datang musim tengkujuh yang membawa ombak besar dan air bah. Maka jika kita telah bersedia, maka apakah yang perlu dikhuatiri lagi. Persiapan minda kita telah memberikan separuh daripada kekuatan yang diperlukan untuk berhadapan dengan ombak. Separuh lagi akan dipenuhi dengan ikhtiar, usaha dan perancangan rapi untuk menghadapi ombak tersebut. Mungkin dengan menyediakan perahu dan sampan, membina rumah yang tinggi tiangnya, atau rumah berakit yang bisa timbul di atas air.
Lihatlah betapa para ilmuan dahulu, datuk nenek kita telah lama mengajarkan mengenai minda positif ini. Maka menjadi tugas kita kini mencernakan kembali pengalaman dan pesanan nenek moyang kita ini, untuk diperbaharui dan diberi nafas baru.
Justeru, dalam menempuh cabaran moden dan globalisasi kini, kita perlu mencontohi ketabahan dan keberanian para pelaut kita dahulu, yang berani dilambung ombak, yang kuat mindanya menghadapi pukulan badai, yang tidak pernah mengaku kalah kepada alam dan arus, bahkan sentiasa yakin akan terbit matahari di ufuk timur pada keesokan harinya.
Inilah minda juara, minda yang bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan. Minda ini perlu kita perkasakan dalam diri kita, dan kembangkan di kalangan rakan-rakan kita, agar kita semua menjadi pasukan yang bersedia berubah.
‘SEKALI AIR BAH, SEKALI PANTAI BERUBAH’
0 Response to "BERSEDIA UNTUK BERUBAH"
Post a Comment