MENJANA MINDA POSITIF



Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:16)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

Bila bicara soal perubahan, kita seringkali cuba mengaitkan perubahan dengan Minda Positif. Kenapa? Kerana Positif itu, jika di segi matematiknya pun sudah diberi tanda ‘+’, berbanding Negatif yg diwakili oleh simbol ‘-‘. Simbol Negatif, dalam sebutan ilmu hisab melayu diungkap dengan kalimah ‘Tolak’. Nah, jelas sekali Minda Negatif adalah minda yang ‘menolak’ perubahan. Justeru, lawannya yakni Minda Positif adalah minda yang menerima (campur) perubahan.

Untuk melatih minda kita agar dapat menerima perubahan, maka ada baiknya kita memahami faktor-faktor yang menyebabkan ‘penolakan’ terhadap sesuatu perkara tersebut. Secara umumnya, ada tiga faktor utama mengapa sesuatu perubahan itu ditolak; a) Berada di Zon Selesa, b) Lemahnya Himmah dalam diri, dan, c) Tekanan luaran.

Faktor pertama dan utama yang menjadi alasan penolakan terhadap sesuatu perubahan adalah Zon Selesa (Complacent). Apa itu Zon Selesa? Ianya adalah keadaan seseorang atau sesuatu yang telah berada pada tahap stabil, selesa, tiada ancaman dan menyeronokkan. Contohnya, seseorang pekerja yang telah bertugas di sesebuah organisasi untuk beberapa waktu, tentunya telah terbiasa dengan budaya dan cara kerja organisasi tersebut. Beliau juga mungkin telah mencapai tahap kemajuan kerjaya tertentu, telah diberi pangkat dan jawatan yang agak baik, dengan bayaran gaji, elaun dan kemudahan yang juga baik. Beliau mungkin telah membeli rumah berdekatan dengan tempat kerjanya, dan kini hanya mengambil masa lima minit sahaja memandu untuk tiba ke pejabat. Kedudukan kewangan yang baik ini juga membolehkan beliau memiliki kenderaan yang baik, dan memenuhi keperluan keluarga dengan sempurna. Anak-anaknya juga bersekolah di sekolah yang berhampiran, dan setiap hari isterinya akan menguruskan urusan persekolahan anak (kerana isteri tidak perlu lagi bekerja, kerana pendapatan suami sudah memadai untuk menyara keperluan keluarga).

Dalam situasi di atas, pekerja berkenaan boleh lah dikatakan telah mencapai tahap Zon Selesa, iaitu kehidupan ini telah menjadi begitu selesa dan memuaskan baginya. Beliau tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan kemajuan kerjaya, kerana laluan kerjayanya seperti telah terbentang luas. Begitu juga perkembangan keluarga, khususnya anak-anak, telah terjaga, dan segala keperluan asas hidup seperti rumah, kenderaan dan sebagainya telah terpenuhi. Maka apakah lagi yang dicari dalam hidup ini? Mengapa perlu keselesaan ini dipertaruhkan untuk sesuatu yang lain? Semestinya tidak terlintas lagi di kotak fikirannya untuk mencari kejaya baru, atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kebahagiaan rumahtangga dan keluarganya. Jauh sekali untuk beliau melibatkan diri dalam urusan atau kegiatan yang boleh merosakkan kerjaya dan masa depannya. Lantaran itu, Zon Selesa ini seolah-olah telah merantai kakinya daripada melakukan perubahan atau tindakan yang boleh menganggu-gugat keselesaan yang sedang dikecapinya.

Mereka yang terperangkap di dalam Zon Selesa, selalunya sukar berubah atau menukar gaya hidupnya. Bayangkan jika tiba-tiba organisasi tempat kerjanya tutup atau berpindah, amat sukar untuk mereka menerimanya. Perubahan menjadi suatu yang amat memeritkan dan payah kepada mereka, dan tekanan yang dihadapi juga akan lebih tinggi.

Seperkara lagi, berada di Zon Selesa akan melahirkan faktor kedua dalam menolak perubahan, iaitu ‘Lemahnya Himmah Diri’. Himmah bererti kekuatan dalaman yang menjadi pendorong kepada keberhasilan dan pencapaian sesuatu matlamat dan tujuan. Himmah yang tinggi akan mendorong pemiliknya untuk lahir sebagai pejuang sejati, yang sanggup berkorban mempertahankan keyakinan dan jati dirinya menghadapi cabaran luar. Himmah juga adalah rahsia kejayaan semua pejuang dan juara sepanjang lintasan sejarah. Di sana ada kata-kata yang diungkapkan “Sesuatu perjuangan itu pasti dimulai oleh Sang Pemberani”. Kenapa? Hanya mereka yang berani, punyai himmah yang tinggi sahaja akan sanggup keluar dari zon selesanya untuk menerajui sesuatu perubahan yang dihajatkan.

Lantaran itulah, sejarah seringkali mengajar kita bahawa pengikut dan pendokong setia para Nabi dan Rasul, kebanyakannya adalah dari kalangan Mustadh’afin (mereka yang dhai’f atau lemah), dari golongan hamba, miskin dan faqir, atau bukan di kalangan tokoh dan pemuka masyarakat. Ini adalah kerana, golongan ini tidak berada di zon selesa, himmah mereka untuk memajukan diri adalah tinggi, dan kesanggupan mereka mengorbankan harta bahkan nyawa untuk sebuah perjuangan adalah mutlak, kerana ‘they have nothing to lose’!

Amat berbeza sekali dengan para al-Mala’ atau pemuka dan tokoh masyarakat, seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan sendiri. Da’wah dan perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dilihat sebagai sesuatu yang boleh menganggu-gugat kuasa dan penguasaan mereka ke atas masyarakat. Jika menyahut seruan perubahan, mereka mungkin kehilangan pengaruh, jawatan dan pangkat, maka hilanglah zon selesa mereka.

Fenomena ini tetap berlaku pada zaman ini. Ini lah yang melahirkan kelesuan di dalam masyarakat moden kini, yang hidupnya sekadar berjuang mengisi perut dan tembolok, menambah kekayaan, pangkat dan gelaran, menggapai mimpi indah di buai nafsu dan syahwat, maka hanyutlah umat kini dalam zon selesa. Maka semangat juang untuk menegakkan kebenaran akan pudar, daya juang akan lemah, himmah dan harga diri akan tergadai dan runtuhlah sistem kehidupan bermasyarakat di atas asas Iman dan Islam. Cabaran dan tekanan ini akan lebih dirasai semakin seseorang itu mendaki tinggi ke puncak zon selesanya. Semakin besar pangkat, semakin tinggi jawatan, semakin banyak gaji, maka semakin sukar lah berbicara soal perjuangan. Inilah di antara mehnah dan fitnah yang banyak menggelincirkan para du’at dan pejuang sejati. Jika dahulu, peringkat awal perjuangan, ujian-ujian ini belum ditemui, zon selesa masih belum dikecapi, rantai pangkat dan jawatan belum kuat mengikat, para pejuang begitu aktif di medan. Namun, beringatlah kalian, awas lah akan ujian dan tipu helah dunia ini.

Faktor pertama dan kedua yang dibincangkan, lebih menjurus kepada mereka yang ingin menjadi Agen Perubahan. Justeru, jika kita ingin menjadi Agen Perubahan atau Anasir at-Taghyir, maka kita perlu punyai himmah yang tinggi yang bisa mengangkat darjat kita keluar dari zon selesa yang menjerat ini. Inilah antara ciri-ciri Muslim sejati, yang diungkapkan di dalam Al-Quran sebagai mereka yang tetap beriman dan bersabar, sama ada dalam susah atau senang.

Adapun faktor ketiga iaitu Tekanan Luar akan terkesan kepada masyarakat umum. Ia berkait rapat dengan pengaruh luar dari media, sebaran mahupun jentera propaganda tertentu. Masyarakat akan mudah tertipu dan terpengaruh dengan mainan media dan sebaran. Begitu juga tekanan masyarakat sekeliling, jiran tetangga, kaum kerabat, rakan sepejabat, hatta takanan majikan, atau pihak yang memiliki kekuasaan atas seseorang, pastinya memberi impak dan kesan terhadap penerimaan sesuatu perubahan.

Tekanan luar ini sebenarnya ibarat pisau yang tajam, bergantung kepada tangan yang memegangnya. Jika digunakan dengan baik, pisau ini banyak kebaikannya, dan sebaliknya jika jatuh ke tangan yang tidak bertanggungjawab, akan mendatangkan huru-hara dan kecederaan. Tidak dinafikan berlaku di dalam catatan sejarah, betapa berlakunya beberapa arus perubahan di dunia ini, kesan dari pengaruh dan tekanan luar yang memihak kepada perubahan tersebut. Maka, para pejuang dan pendokong perubahan, perlu bijak menilai, meneliti dan menguruskan elemen-elemen tekanan luar ini, agar dapat disalurkan secara positif dan akhirnya menjadi arus yang menghasilkan perubahan yang dicita-citakan.

Akhirnya, renungilah apa yang telah kita pelajari dari Fizik. Jasad yang pegun dan stabil di puncak bukit, tidak akan bergolek ke bawah, melainkan diberikan sedikit tolakan atau ‘tekanan’ daya luar. Apabila ditolak, tenaga inertia dan keupayaan yang tersimpan di dalamnya akan memacu jasad itu untuk bergolek ke bawah dengan lajunya. Inilah gambaran perubahan, dengan daya luar yang betul, diadun dengan himmah dalaman dan keberanian keluar dari zon selesa (stabil), maka perubahan akan dapat digerakkan. Justeru, mari kita jana minda positif untuk menghadapi faktor-faktor penghambat perubahan ini.

BERSEDIA UNTUK BERUBAH

Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:15)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

Di dalam siri yang lalu, kita pernah perkatakan bahawa untuk melakukan perubahan, diperlukan dua rukun iaitu: Qabil at-Taghyir (bersedia untuk menerima perubahan) dan Anasir at-Taghyir (agen perubahan).

Bagaimanakah yang dikatakan ‘bersedia menerima perubahan’ tersebut? Atau kita mungkin mahu menyoal diri kita, apakah aku bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan? Apakah persediaan yang diperlukan untuk melakukan perubahan?


Di antara persediaan yang dimaksudkan adalah persediaan Minda, Hati, Kefahaman dan Rakan-sepasukan. Dalam ertikata lain, sebelum kita melakukan perubahan samada ke atas diri kita, rakan atau persekitaran, kita perlu persiapkan terlebih dahulu minda dan hati kita. Minda dan hati perlu dilatih untuk berubah. Perubahan itu pula perlu dibuat dengan penuh kefahaman dan kesedaran, dan jika melibatkan perubahan yang besar, maka faktor sokongan rakan-sepasukan amatlah penting.

Perubahan yang dipaksakan, tanpa persediaan minda dan hati, adalah hampir mustahil akan berhasil, ibarat cubaan mengubah gunung yang besar. Ini adalah kerana, jika minda telah terbelenggu dengan sesuatu kebiasaan atau kepercayaan, maka amat sukar untuk kita meminta seseorang berbuat sesuatu yg berlainan daripada keyakinan mindanya. Inilah yang disebut sebagai Revolusi Mental oleh seorang pemikir tanah air sedikit masa lalu. Jika kita ingin mengubah masyarakat, maka mental dan minda umat perlu dibina dan diasuh terlebih dahulu.


Contohnya, ketika Inggeris menjajah kita dahulu, masyarakat telah dimomokkan dengan kepercayaan bahawa sektor pekerjaan adalah berdasarkan kaum dan keturunan. Maka dimasyhurkan bahawa orang melayu kerjanya sebagai petani di sawah, atau nelayan di laut, atau jika lebih sedikit pembelajarannya, sekadar menjadi pekerja di jabatan kerajaan. Kaum India pula digambarkan oleh Inggeris sebagai pekerja ladang yang gigih, serta bagus dalam sektor perkhidmatan awam, manakala kaum Cina dipotretkan oleh Inggeris sebagai peniaga, pelombong dan peneroka bandar yang berjaya.

Perangkap minda ini telah memenjarakan minda rakyat negara ini untuk sekian lamanya, hingga lahir beberapa generasi yang amat sukar dibina kembali keyakinan jati-dirinya untuk mencapai kejayaan di dalam sektor-sektor yang lain dari tradisi peninggalan Inggeris.


Pernah satu ketika, jika ada orang melayu yang ingin berniaga, pasti akan ditertawakan oleh rakan-rakannya, bahkan akan dipersenda dan diperlekehkan bakat dan kebolehannya. Begitu juga pada satu zaman dahulu, amat sedikit mereka yang menceburi kerjaya profesional kerana sukarnya untuk merobohkan tembok minda yang telah lama terbina.


Maka, untuk mengubah seseorang, persediaan dan kekuatan minda adalah amat kritikal. Seorang anak yang dari kecil dibiasakan dengan ‘takut kepada gelap’, maka sifat takut itu akan terus diwarisi bahkan semakin membiak sehingga dewasa. Anak itu akan membentuk sikap penakut, tidak berani mencuba, khuatir akan perkara yang tidak pasti, takut kepada bayang-bayang dan pelbagai lagi imaginasi ganas dan ngeri yang mungkin menghantui kotak pemikirannya. Inilah penjara dan tembok minda yang pastinya merantai potensi diri anak itu dari terus mencuba untuk berjaya.


Justeru, kita perlu persiapkan minda anak itu untuk berani meghadapi perubahan. Jika gelap, nyalakan lampu. Jika ada halangan, cari jalan lain untuk mengelakkannya. Jika ada masalah, selesaikan, bukan lari dari masalah. Jika tidak cukup ilmu, belajar lah. Jika jahil, jangan malu bertanya.

Minda yang ingin bebas dari ‘kongkongan kegelapan’ ini akan membentuk budaya positif dalam diri seseorang, dan persiapan minda positif inilah yang akan menjadi tapak untuk sesuatu perubahan positif itu berlaku. Seperti juga bangunan, semakin besar dan tinggi bangunan yang ingin didirikan, maka semakin luas, besar dan kukuh tapak yang perlu dipersiapkan.


Maka, jika kita ingin melakukan perubahan yang besar, hebat dan berimpak tinggi dalam kehidupan kita, maka persiapan minda juga perlu seiring, sama besarnya, tidak kurang hebatnya dan mesti memberikan impak yang amat tinggi terhadap diri kita.

Membina dan menjana minda positif ini adalah satu perkara yang amat penting. Pakar-pakar motivasi timur dan barat, muslim dan non-muslim semuanya sepakat memperkatakan mengenai keutamaan menjana minda positif ini. Ini adalah kerana, minda yang positif menjadi tapak pelancaran sesebuah roket menuju kecemerlangan.


Pepatah melayu telah lama mengajar kita; ‘kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’, atau ‘kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga’.

Kedua-dua pepatah lama ini memberikan satu nilaian yang tinggi terhadap pentingnya menjana dan mencerna minda yang positif sebelum kita melangkah ke satu perubahan, cabaran dan usaha yang besar.

Jika kita ingin menakluki laut dan pantai, maka kita perlu buangkan perasaan takut dilambung ombak. Inilah yang dikatakan persiapan minda, persediaan minda untuk menerima hakikat bahawa jika kita membina rumah di tepi pantai, maka pasti akan datang musim tengkujuh yang membawa ombak besar dan air bah. Maka jika kita telah bersedia, maka apakah yang perlu dikhuatiri lagi. Persiapan minda kita telah memberikan separuh daripada kekuatan yang diperlukan untuk berhadapan dengan ombak. Separuh lagi akan dipenuhi dengan ikhtiar, usaha dan perancangan rapi untuk menghadapi ombak tersebut. Mungkin dengan menyediakan perahu dan sampan, membina rumah yang tinggi tiangnya, atau rumah berakit yang bisa timbul di atas air.

Lihatlah betapa para ilmuan dahulu, datuk nenek kita telah lama mengajarkan mengenai minda positif ini. Maka menjadi tugas kita kini mencernakan kembali pengalaman dan pesanan nenek moyang kita ini, untuk diperbaharui dan diberi nafas baru.


Justeru, dalam menempuh cabaran moden dan globalisasi kini, kita perlu mencontohi ketabahan dan keberanian para pelaut kita dahulu, yang berani dilambung ombak, yang kuat mindanya menghadapi pukulan badai, yang tidak pernah mengaku kalah kepada alam dan arus, bahkan sentiasa yakin akan terbit matahari di ufuk timur pada keesokan harinya.

Inilah minda juara, minda yang bersedia untuk berubah dan melakukan perubahan. Minda ini perlu kita perkasakan dalam diri kita, dan kembangkan di kalangan rakan-rakan kita, agar kita semua menjadi pasukan yang bersedia berubah.

‘SEKALI AIR BAH, SEKALI PANTAI BERUBAH’

MEMAHAMI PERUBAHAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:14)

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias



“Manusia sering memusuhi perkara yang tidak difahaminya”


Itulah ungkapan yang telah kita petik di dalam artikel yang lalu. Kenapakah manusia bersifat begitu? Jawaban yang mudah adalah kerana ianya fitrah kejadian manusia. Lihat sahaja bayi yang baru lahir, sebaik sahaja keluar dari perut ibunya, akan menangis dan merengek, kerana berhadapan dengan persekitaran yang baru. Begitu juga apabila anak-anak kita mahu memulakan persekolahan, ada yang tidak mahu ke sekolah, menangis, mahu ibunya menemani mereka di sekolah dan pelbagia karenah lagi. Kenapa semua ini? Kerana mereka tidak memahami perubahan yang baru berlaku ke atas mereka.


‘Kenapa saya perlu ke sekolah?’ ‘Kenapa adik kena bangun awal pagi?’ ‘Kenapa dah tak boleh tidur lama-lama lagi?’ “Kenapa tak boleh bawa botol susu ke sekolah?’

Mungkin itu beberapa persoalan yang sering diungkapkan oleh murid-murid baru ke tadika atau tahun satu persekolahan. Persoalan ini timbul kerana mereka tidak memahami apakah perubahan yang sedang berlaku atas diri mereka, persekitaran, rakan-rakan, jadual harian, semuanya berubah.

Semakin banyak yang tidak difahami, semakin sukar lah mereka menerima perubahan tersebut. Begitu juga kita pernah mendengar betapa sukarnya beberapa projek pertanian baru contohnya hendak dilaksanakan, tanpa kefahaman para petani yang terlibat. Timbul pelbagai persoalan seperti; Kenapa nak tanam padi dua kali setahun? Bagaimana nak tanam dua kali setahun? Apa benih padi yang nak digunakan? Datuk nenek kita tak pernah buat sebegitu pun, dan sebagainya.


Bukan sekadar contoh-contoh di atas, bahkan dalam organisasi juga biasa terjadi penolakan terhadap perubahan, apabila tiada proses memberikan kefahaman mengapa perlu berubah. Saya sendiri pernah terlibat di dalam pasukan untuk memperkenalkan Sistem Pengurusan Kualiti di sebuah institusi pengajian tinggi. Betapa sukarnya hendak memperkenalkan sistem tersebut, yang mengundang pelbagai penolakan dan penentangan daripada para profesor dan pensyarah. Ada yang merasakan sistem kualiti tidak perlu, kerana apa yang mereka ajarkan semuanya sudah berkualiti. Ada yang skeptikal dan sinis dengan sistem kualiti yang hendak diperkenalkan, kerana bagi mereka apa yang diamalkan selama ini telahpun bagus dan mantap. Bahkan ada yang berburuk sangka dan menuduh pasukan kualiti ini hanya bertujuan mencari kelemahan dan kesalahan pekerja lain sahaja. Pelbagai reaksi dan penentangan ini berkait rapat dengan tahap pemahaman mereka terhadap perubahan yang inign dilaksanakan.


Benarlah : “Manusia memusuhi apa yang tidak difahaminya”


Justeru, bukanlah suatu yang pelik apabila Islam juga dimusuhi oleh dunia Barat dan masyarakat antarabangsa yang tidak memahaminya. Apabila kefahaman Islam yang benar gagal disampaikan dan disebarkan, maka masyarakat akan memusuhi dan menolak perubahan yang ingin dibawa oleh Islam. Renunglah betapa Rasulullah SAW sendiri pernah digelar sebagai orang gila, hilang aqal, tidak siuman dan kena sihir, apabila Baginda membawa perubahan kepada Islam di dalam dakwah Baginda dahulu.


Begitu juga kisah Nabi Nuh yang membina bahtera di atas bukit. Umatnya gagal memahami rasional perlunya bahtera tersebut lantas mengejek dan mempersendakan usaha Baginda untuk menyelamatkan umat. Akhirnya, kejahilan itulah yang membinasakan mereka.

Oleh itu, kita tidak boleh menjadi mangsa kejahilan. Jangan biarkan kejahilan menguasai kita dan menutup pintu hati kita daripada menerima kebenaran dan perubahan. Lebih malang lagi, jika kita terjebak memusuhi sesuatu tanpa usul periksa, tanpa kefahaman yang betul dan maklumat yang sahih, kerana ini pastinya mengundang kezaliman kepada orang lain yang dimusuhi, bahkan diri kita jua.


Adalah malang jika kita terus-terusan menolak seruan kepada perubahan yang positif, tanpa berusaha memahami perubahan yang ingin diperkenalkan tersebut. Lebih malang lagi jika kita pula terbabit di dalam usaha menghalang atau menggagalkan perubahan yang ingin diperkenalkan. Yang sebaiknya adalah kita cuba memahami perubahan tersebut, dan paling baik, bersama-sama menjadi peneraju dan pendokong perubahan.


Hakikatnya, Islam adalah agama yang membawa perubahan. Perubahan palinig besar adalah mengubah aqidah umat, daripada aqidah syirik dan sesat, kepada aqidah yang sahih dan sejahtera. Islam mengubah masyarakat daripada menyembah berhala, batu dan kayu, kepada menjadi hamba Allah SWT yang taat dan ikhlas. Islam mengubah masyarakat yang rosak akhlak dan nilai hidupnya, kepada umat yang mampu membangunkan tamadun dan peradaban. Islam mengubah sistem hidup yang sempit dan zalim, kepada suatu sistem yang adil, luas dan indah. Peubahan Islam ini adalah peubahan yang menyeluruh, yang diungkap oleh ulama’ sebagai

TAGHYIR ISLAM KULLI atau PERUBAHAN ISLAM YANG MENYELURUH.

Perubahan Islam akan berlaku, apabila masyarakat memahami Islam yang tiba kepadanya. Penolakan terhadap Islam berlaku, lantaran kejahilan umat terhadapnya. Inilah cabaran besar kepada para pendakwah dan pendokong Islam, untuk menyampaikan kefahaman Islam yang benar kepada masyarakat.


Masyarakat perlu difahamkan tentang Islam. Kefahaman Islam perlu disebarkan kepada masyarakat seluas-luasnya. Islam perlu difahami dengan tepat dan benar, barulah akan berkurangan salahfaham dan kekeliruan terhadap Islam. Dalam masa yang sama, para pendakwah juga perlu berusaha menyampaikan kefahaman Islam dengan mudah dan indah. Inilah tugas besar para pendakwah, guru dan ulama’ untuk meghilangkan kejahilan umat. Umat telah lama memerlukan bimbingan golongan ini.


Kefahaman Islam juga boleh disampaikan dengan pelbagai kaedah dan wasilah yang indah. Media dan bahan bacaan seperti Solusi ini juga adalah salah satu daripadanya. Yang penting, setiap kita berusaha menyampaikan kefahaman. Inilah yang disebut sebagai menjadi Agen Perubahan. Tugas pertama dan utama para Agen Perubahan adalah memahamkan masyarakat terhadap perubahan yang ingin dilaksanakan. Semakin ramai memahami perubahan tersebut, maka pasti akan berkuranglah penentangan dan penolakan terhadap perubahan tersebut. Kemuncaknya, kita ingin mengajak khalayak seluruhnya menjadi Agen Perubahan.


Kefahaman dan ilmu saling berkait. Ilmu yang difahami, akan mudah diamalkan. Kefahaman tanpa ilmu pula mengundang penyelewengan. Justeru, kita semua memerlukan ilmu dan kefahaman dalam menguruskan perubahan. Semakin besar perubahan yang ingin dilakukan, semkin banyak ilmu dan kefahaman yang kita perlukan. Apabila ilmu bertambah, kejahilan pasti berlalu, dan lenyaplah kezaliman.


Kezaliman, berakar kata dari Zulm iaitu kegelapan. Kegelapan menghalang kita melihat sesuatu dengan betul. Kejahilan juga berlaku kerana gagal memahami sesuatu dengan betul. Maka sinarilah kehidupan kita dengan cahaya ilmu dan keimanan.


Saya terkenang senikata nasyid lama:

“ILMU ITU CAHAYA, JAHIL ITU MERBAHAYA”.

KENAPA PERLU BERISTIGHFAR ?


Imam Bukhari rahimahullah berkata di dalam Shahihnya, di kitab ad-Da’awaat:

Bab. Istighfar Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam sehari semalam.

Abul Yaman menuturkan kepada kami. Dia berkata: Syu’aib mengabarkan kepada kami dari az-Zuhr’i. Dia berkata: Abu Salamah bin Abdurrahman mengabarkan kepadaku. Dia berkata: Abu Hurairah -radhiyallahu’anhu- berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Demi Allah, sesungguhnya meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.” (Shahih Bukhari cet. Maktabah al-Iman, hal. 1288. Hadits no 6307)

Imam Muslim rahimahullah berkata di dalam Shahihnya, di kitab adz-Dzikr wa ad-Du’aa’ wa at-Taubah wa al-Istighfar:

Abu Bakr bin Abi Syaibah menuturkan kepada kami. Dia berkata: Ghundar menuturkan kepada kami dari Syu’bah dari Amr bin Murrah dari Abu Burdah, dia berkata: Aku mendengar al-Agharr dan dia adalah termasuk sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika dia menyampaikan hadits kepada Ibnu Umar. Ketika itu dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah. Kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari kepada-Nya seratus kali.” (Shahih Muslim yang dicetak bersama syarahnya jilid 8, hal. 293. Hadits no 2702)

Itulah gambaran istigfar Nabi saw. agar di contohi oleh kita kaum Muslimin. Persoalan yang timbul mengapa pesuruh Allah yang maksum ini melakukan sedemikian sedangkan begitu banyak janji kemenangan dan syuga telah Allah kurniakan kepada baginda saw.. Bahkan bukan itu sahaja, jika dilihat dari sudut jihad baginda saw. dalam menegakkan hukum Allah, itu sebenarnya lebih jauh untuk membuktikan kesungguhan dan keikhlasan baginda saw..

An-Nawawi rahimahullah berkata setelah menjelaskan kandungan hadits ini, “Adapun kita -apabila dibandingkan dengan Nabi- maka sesungguhnya kita ini jauh lebih membutuhkan istighfar dan taubat -daripada beliau-…” (Syarh Muslim [8/293]).

Benarlah apa yang dikatakan oleh an-Nawawi, semoga Allah merahmati dan mengampuni kita dan beliau. Kurun baginda saw. adalah kurun yang terbaik yang telah membukan ruang kepada perkembangan Islam hingga ke hari ini. Kurun yang di penuhi dengan generasi yang hidup dengan Al-Quran dan segala lapangan. Tetapi mereka juga tidak lekang daripada senantiasa bertaubat kepada Allah swt..

Imam Bukhari rahimahullah meriwayatkan dengan sanadnya dari Ahmad bin Yunus dari Abu Syihab dari al-A’masy dari ‘Umarah bin ‘Umair dari al-Harits bin Suwaid dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu’anhu, beliau berkata, “Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seperti orang yang sedang duduk di bawah kaki bukit dan khawatir kalau-kalau bukit itu akan runtuh menimpanya. Adapun orang yang fajir/pendosa maka dia melihat dosa-dosanya seolah-olah seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya lalu dia usir dengan cara begini.” Abu Syihab berkata, “Maksudnya adalah dengan sekedar menggerakkan tangan di atas hidungnya.” … (lihat Shahih Bukhari, hal. 1288)

Marilah kita hidupkan Sunnah/ajaran yang telah banyak ditinggalkan manusia ini, ayyuhal ikhwah -wahai saudaraku- semoga Allah menggolongkan kita di antara hamba-hamba-Nya yang beruntung.

Dipetik dari : www.dakwah.info

MERANCANG PERUBAHAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:13)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

Perubahan akan terus berlangsung, sama ada bersama kita atau tanpa kita. Orang yang dapat bersama-sama dengan arus perubahan, tentunya lebih bersedia dan beruntung, daripada mereka yang tidak bersedia menerima perubahan atau terpaksa menerima perubahan.

Perubahan yang dipaksakan ke atas kita adalah suatu yang amat menyiksakan, kerana kita terjebak dengan suatu keadaan yang tidak disangka-sangka. Contohnya pekerja yang secara tiba-tiba diberhentikan kerja kerana kegawatan ekonomi. Jika beliau tidak cukup bersedia, maka kesan perubahan (tanpa pekerjaan) pastinya amat besar. Tekanan emosi dan perasaan pasti menyesakkan dada, belum lagi tekanan kewangan, tiada pendapatan, hutang-piutang yang tidak dapat diuruskan, keperluan hidup dan nafkah untuk keluarga dan sebagainya. Lebih perit lagi jika diberhentikan kerja menjelang hari perayaan.

Begitu juga dengan organisasi atau Negara yang tidak bersedia dengan ‘perubahan yang dipaksakan’ ini. Jika kita lihat krisis ekonomi yang pernah melanda dunia pada tahun 1997 dahulu, ketika itu banyak negara yang terkesan dengan teruk lantaran perubahan yang berlaku adalah amat mendadak sifatnya. Saat itu, berapa ramai yang kehilangan pekerjaan, syarikat yang gulung tikar, ekonomi merudum, pasaran saham jatuh, orang kaya terpaksa menjadi muflis, dan hutang bank yang tidak dapat dilunaskan (NPL). Dikhabarkan tidak kurang yang membunuh diri kerana tekanan ini, atau mendapatkan rawatan pesakit jiwa kerana krisis tersebut. Inilah contoh jika perubahan berlaku tanpa kita bersaedia menerimanya, atau ‘perubahan yang dipaksakan’.

Perubahan yang dipaksakan ke atas organisasi atau masyarakat, pastinya akan mengundang protes atau penentangan. Di sana ada kata-kata hikmah yang berbunyi ‘manusia akan memusuhi sesuatu yang tidak diketahuinya’, atau ‘semakin banyak perkara yang tidak jelas tentang sesuatu, semakin sukar kita menerimanya’. Justeru, untuk sesuatu perubahan berlaku dengan tertib dan mendapat penerimaan, perlu ada persediaan untuk menerima perubahan tersebut. Ini yang kita sebut sebagai Qabil litTaghyir (Bersedia Berubah) di dalam artikel yang lalu.

Justeru, untuk meminimakan protes atau bantahan terhadap sesuatu perubahan, para pendokong perubahan (agen perubahan) perlulah melakukan beberapa proses agar perubahan yang ingin dilaksanakan akan mendapat penerimaan masyarakat. Bahkan tahap tertinggi yang perlu diusahakan adalah apabila kita dapat merancang perubahan.

Perubahan yang dirancang akan dapat mengurangkan tekanan atau kesan yang tidak diingini oleh mereka yang menerimanya. Contoh, jika seorang pekerja memang telah membuat persediaan untuk menghadapi krisis ekonomi, maka dia mungkin akan membuat perancangan untuk berubah.
Perancangan mungkin dalam bentuk berusaha mencari pekerjaan lain atau merancang memulakan perniagasan sendiri atau sekurang-kurangnya membuat persediaan diri untuk menerima yang terburuk (prepare for the worst) yang mungkin menimpa dirinya. Dengan persediaan ini, maka tahap kesengsaraan atau kesusahan akan dapat dikawal dan dikurangkan, berbanding dengan ‘perubahan yang dipaksakan’ seperti di atas tadi.

Yang lebih indah lagi adalah jika kita mengambil sikap proaktif dengan menjadi perancang dan penjana perubahan. Berapa ramai tokoh-tokoh yang muncul sepanjang sejarah, adalah mereka yang menjadi perancang dan penjana perubahan. Semua para Nabi dan Rasul, terutama Rasulullah Muhammad SAW, adalah merupakan mereka yang merancang dan melaksanakan perubahan kepada masyarakat. Begitu juga senarai pejuang, tokoh bangsa, pemimpin negara, Perdana Menteri, Presiden dan sebagainya, adalah mereka yang menulis sejarah, atau dikenang kerana perubahan yang mereka lakukan.

Umat Islam perlu kembali menjadi umat yang merancang perubahan, bukan sekadar menerima perubahan. Inilah rahsia keagungan Generasi Awal Islam, semasa zaman Rasulullah, Khulafa ‘urRashidin, dan Khilafah Islam selepas mereka. Mereka adalah generasi yang mencipta perubahan, merancang dan melaksanakannya, bukan hanya berserah kepada perubahan yang dipaksakan.

Kebangkitan semula Islam perlu dirancang. Perubahan Islam yang ingin dilaksanakan pada hari ini juga perlu perancangan. Kita perlu menjadi Arus yang merubah masyarakat, bukan buih yang dihanyutkan arus.

Untuk merancang perubahan, memerlukan beberapa proses:
1. Analisa Jurang
2. Penentuan Matlamat
3. Penetapan Laluan dan Marhalah
4. Perancangan Strategi
5. Penilaian (Muhasabah) dan Penambahbaikan

Analisa Jurang perlu untuk menilai jurang antara keadaan kini, dengan cadangan perubahan yang dihajatkan. Contohnya, seorang yang bekerja sebagai buruh kasar, tetapi bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya, maka perlu menilai jurang antara posisi kini (buruh) dengan menjadi usahawan. Dia harus menilai jurang modal yang perlu dikumpul, jurang ilmu dan pengalaman, jurang jaringan perniagaan dan sebagainya. Dengan meneliti semua ini, maka langkah-langkah seterusnya dapat dilakukan dengan betul.

Setelah mengenalpasti jurang yang perlu diatasi, maka matlamat perubahan dapat digariskan dengan betul. Contohnya, buruh tersebut akan meletakkan matlamat mengumpul sejumlah modal dalam tempoh tertentu, berusaha mengikuti kursus atau latihan kemahiran yang diperlukan, dan merancang tapak perniagaan yang akan dimulakan.

Apabila matlamat telah ditetapkan, maka laluan untuk mencapainya juga perlu dirangka. Mungkin ada laluan pantas tetapi sukar, ataupun laluan mudah tetapi panjang dan jauh. Tidak mustahil juga akan temui laluan yang panjang dan sukar. Ini semua memerlukan perjuangan dan usaha untuk melaluinya.

Untuk mencapai matlamat, maka diperlukan strategi yang bijak dan berhasil. Pelbagai kaedah dan cara perlu dilakukan agar matlamat dapat dicapai. Sepanjang proses tersebut, muhasabah, penilaian semula dan penambahbaikan mungkin diperlukan terhadap kesemua proses di atas.

Inilah secara ringkas perancangan perubahan yang perlu, agar kita menjadi peneraju perubahan. Organisasi yang berjaya merancang perubahan, pastinya akan menjadi peneraju kepada perubahan di dalam masyarakat. Begitu juga individu yang bersedia dan merancang perubahan, akan dapat menguruskan perubahan dan kehidupannya dengan lebih baik dan berjaya.

Marilah kita bersedia berubah, dan yang lebih penting, merancang perubahan yang kita inginkan. Jangan biarkan diri kita dipaksa menerima perubahan yang tidak diinginkan.

MENGURUS PERUBAHAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:12)

Oleh Ir. Ahmad Jais Alias


Perubahan adalah sunnatullah. Allah menjadikan alam ini, dan segala makhluknya dengan satu sifat, iaitu sentiasa berubah. Justeru, di dalam perbidalan kata melayu, kita punyai rangkap peribahasa seperti “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Di dalam ilmu pengurusan barat pun, kita pernah bertemu dengan ungkapan ‘the only permanent thing that happens in the universe is CHANGE’, maksudnya, ‘satu-satunya perkara yang tetap berlaku pada alam ini adalah PERUBAHAN’.


Justeru, kita perlu mendidik diri kita agar menerima perubahan, bahkan bersedia untuk menerima perubahan di dalam kehidupan kita. Adakalanya perubahan berlaku hasil daripada pilihan dan usaha kita, namun tidak kurang juga perubahan yang di’paksa’kan ke atas kita. Dalam semua hal, perubahan akan terus berlangsung. Kegagalan untuk menerima perubahan, atau bersedia untuk menghadapi perubahan, akan mendatangkan kesan kepada seseorang. Jika perubahan yang berlaku adalah terlalu besar dan mendadak sifatnya, maka kesannya juga akan menjadi lebih besar. Oleh kerana itulah, pengurusan perubahan perlu dilakukan, agar perubahan yang berlaku dapat diuruskan secara baik dan teratur.


Begitu juga mereka yang ingin melakukan perubahan, perlu memahami dan melaksanakan pengurusan perubahan, Perubahan yang ingin dilaksanakan pada diri sendiri, keluarga, organisasi, tempat kerja bahkan masyarakat dan negara, perlulah diuruskan dengan baik. Ini adalah kerana, hakikatnya perubahan perlulah ke arah kebaikan dan peningkatan, bukannya berubah kepada suatu yang lebih buruk dan merosakkan.


Untuk menguruskan perubahan, kita perlu memahami 2 rukun perubahan, iaitu: Qabil lit Taghyir (Bersedia untuk Berubah atau Menerima Perubahan)Anasir at-Taghyir (Agen Perubahan) Perubahan akan dapat dijana dan dilaksanakan jika ada kedua-dua rukun ini. Pertamanya, perubahan yang hendak dilaksanakan perlu diterima terlebih dahulu. Jika kita ingin membuat perubahan pada diri dan organisasi kita, maka penerimaan kita dan anggota organisasi terhadap perubahan itu perlu dipersiapkan terlebih dahulu. Adalah sukar melakukan perubahan jika dari awal-awal lagi perubahan itu ditolak atau tidak dapat diterima oleh organisasi.


Justeru, proses mendidik dan memahamkan anggota organisasi dan masyarakat mengenai perubahan yang ingin dilaksanakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Perubahan yang ingin dilakukan perlu diperjelaskan dengan sungguh-sungguh sehingga timbul kesedaran menyeluruh kepada perlunya berubah. Apabila kesedaran ini telah timbul, maka mudahlah perubahan yang ingin dilakukan.


Rukun kedua, iaitu Anasir Perubahan juga adalah penting, kerana tidak akan berlaku perubahan, jika tiada agen atau anasir yang akan melaksanakannya. Maka, proses melahirkan dan membentuk satu pasukan agen perubahan adalah perlu, sebagai pra-syarat untuk melaksanakan perubahan.


Inilah dua komponen penting di dalam menguruskan perubahan. Perubahan perlu dilakukan, atau akan terus berlaku, dan untuk menguruskannya, kita perlu membina persediaan untuk berubah, dan menjadi agen kepada perubahan tersebut. Dalam konteks peribadi, perubahan akan berlaku dalam kehidupan kita, mungkin kerana fackor luaran, mahupun atas pilihan kita sendiri. Yang penting, kesediaan kita untuk berubah, dan kita sendiri yang menjadi agen dan pelaksana perubahan tersebut. Ini akan mengelakkan kita sentiasa menjadi buih-buih yang hanyut dibawa arus perubahan.


Benarlah sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya menyebut, ‘pada akhir zaman nanti, umat Islam laksana buih-buih dibawa arus’, mungkin kerana gagalnya kita mengurskan perubahan.


Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk menguruskan perubahan.

Powered by Blogger