Krisis Nilai dalam Kehidupan


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:21)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


Krisis adalah kalimat yang amat sinonim dengan kehidupan. Hidup ini tidak sunyi dari krisis. Pelbagai masalah, persoalan dan perkara yang berlaku dalam kehidupan ini yang boleh menjadi punca kepada krisis. Tahap krisis sahaja yang mungkin berbeza.

Ada krisis yang hanya berlegar di dalam kepala, tetapi tidak terungkap secara zahir. Ada krisis yang menjelma dalam peribadi seseorang, dan merebak ibarat wabak yang bahaya menjangkiti mereka disekelilingnya.

Bahkan ada krisis yang meletus dan tersebar dalam masyarakat dan membawa pelbagai masalah kepada kehidupan manusia. Tidak kurang krisis yang berakhir dengan permusuhan, perpecahan, pergolakan dan peperangan.

Kerencaman jenis krisis dan punca serta penyelesaiannya ini mendorong beberapa universiti dan pusat kajian menjadikan ’Pengurusan Krisis’ sebagai salah satu bidang pengajian dan penyelidikan mereka. Seolah-olah ’krisis’ telah menjadi satu sumber ’cari makan’ pula. Ironis sungguh!

Negara dan bangsa yang sedang menghadapi krisis, lazimnya tidak stabil dan terdedah kepada pelbagai kepincangan dan kemusnahan. Lihat sahaja beberapa negara Eropah yang sedang menghadapi krisis kewangan kini, bahkan ke tahap negara menjadi muflis dan ekonominya lumpuh. Kesannya, taraf hidup tergugat, rakyat menjadi resah, pemerintah gelisah dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Begitu juga jika berlaku krisis kepimpinan, apabila rakyat tidak lagi menghormati pemerintah, atau pemerintah tidak lagi dipatuhi atau hilang ’kedaulatan’, maka ianya petanda negara di ambang krisis yang kritikal. Lihat sahaja apa yang berlaku di negara jiran kita. Krisis demi krisis silih berganti, tak kunjung reda.

Di arena antarabangsa pula, rantau yang bergolak dan punyai konflik antara negara berjiran pastinya punyai krisis tersendiri. Isu sempadan dan kedaulatan negara, krisis jenayah rentas sempadan, perbalahan ideologi dan perbezaan politik, kadangkala membawa kepada meletusnya pertembungan bersenjata yang membawa kepada peperangan dan ketegangan. Semua ini punyai makna tersendiri kepada krisis kehidupan.

Jika kita telusuri sejarah penciptaan Adam, tatkala Allah SWT berfirman ’Aku ingin menjadikan di mukabumi itu Khalifah’, maka para Malaikat sempat bertanya ’apakah Engkau akan jadikan padanya mereka yang akan melakukan kerosakan padanya dan menumpahkan darah?’ [rujuk Surah al-Baqarah].

Pernyataan ini seolah-olah meletakkan manusia itu begitu sinonim dengan pencetus krisis dan perosak kehidupan di mukabumi ini. Kenapa kah begitu?

Adakah kerana manusia ini tidak punyai kemahiran mengurus krisis? Atau sememangnya sifat dalaman diri manusia memang tersedia elemen ’suka berkrisis’ tersebut? Kenapa makhluk jenis manusia ini suka melakukan kerosakan?

Kerakusan dan kejahatan manusia bukan sekadar merosakkan dirinya sendiri, bahkan juga menghancurkan makhluk lain dair jenis haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitarnya. Semakin hari, manusia seolah-olah semakin gagal menguruskan kehidupan ini dengan baik. Adakalanya penyelesaian yang diambil oleh manusia bukan membawa kebaikan, tetapi ibarat tikus yang membaiki labu!

Jika kita sendiri terjebak di dalam krisis, apakah yang harus dilakukan? Ini satu persoalan yang penting. Setiap kita pasti punyai krisis masing-masing. Ada yang menghadapi krisis rumahtangga, mungkin juga krisis di tempat kerja. Dalam konteks lebih luas, dalam masyarakat setempat juga boleh berkrisis.

Ada juga yang terjerat dengan krisis kewangan, pelaburan lesap, hutang menimbun, poket kempis dan macam-macam lagi. Ini belum lagi bercakap soal krisis kepimpinan, konflik antara peribadi, berbeza pendapat, perwatakan dan citarasa, yang membawa kepada tidak bertegur sapa, bermasam muka dan saling bermusuhan.

Siapakah manusia bertuah yang tidak punyai krisis dalam kehidupan? Siapakah manusia hebat yang mampu mengurus dan mengawal krisis? Siapakah manusia gagah yang berjaya menyelesaikan krisis? Siapakah manusia bijak yang mampu merancang dan mencarta krisis?

Dalam menghadapi krisis, kita perlu menjadi manusia bijak dengan berfikir selangkah ke hadapan iaitu ke tahap mampu merancang dan mencarta krisis. Orang yang bijak tidak membenarkan krisis mencorakkan hidupnya, tetapi sebaliknya dia mampu mengubah krisis menjadi peluang dan potensi.

Oleh itu, kita perlu menguasai ilmu pengurusan krisis ini. Kita hendaklah mampu mengawal dan menguruskan krisis. Jangan biarkan diri kita dikuasai oleh krisis. Semuanya bermula dengan penguasaan dalaman diri kita.

Krisis dalam diri kita lah perlu dibereskan terlebih dahulu. Segala pergolakan dalam jiwa, perbalahan dalam dada, perselisihan antara Rasa dan Hati, antara Nafsu dan Iman perlu kita tangani sebelum dapat kita kuasai juzuk-juzuk diri yang lain. Jangan benarkan diri kita berkrisis sesama sendiri.

Aqal perlu memandu, Iman menjadi Hakim, Nafsu perlu dijinakkan, Ilmu sebagai panduan. Inilah ramuan mujarab mengubati krisis diri kita. Selamat mencuba!


Bercinta dengan Dakwah


Oleh : BroHamzah
http://brohamzah.blogspot.com
brohamzh@yahoo.com

Cinta adalah satu perasaan yang sangat sukar untuk diterjemahkan hakikatnya. Namun ia adalah suatu perasaan yang unik dan ia mampu menjadi seseorang itu daripada insan biasa kepada luar biasa.

Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita manusia yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta ini boleh membinasakan dan merosakan malah boleh menjadikan seseorang itu manusia yang sebaliknya.

Bicara perkongsian pada saat ini bukannya cinta biasa, tetapi apa yang ingin saya nyatakan ialah cinta terhadap jalan dakwah iaitu jalan menyeru kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya bukannya sebarangan cinta malah terikatan jiwa dan ruh terhadap cinta ini sangat istimewa dan lain daripada lain.

Ada 2 (dua) pilihan ketika bertemu cinta, sama ada jatuh cinta atau membangunkan cinta. Jika saya, saya akan memilih yang kedua. Agar cinta saya nanti menjadi istana, tinggi mengapai syurga. Namun, jika cinta terhadap sesuatu yang istimewa maka saya ingin jatuh cinta dan juga membangunkan cinta terhadapnya sedalam-dalamnya. Cinta terhadap dakwah mulai berputik dengan jatuh cinta kepadanya dan disemarakan cinta ini agar terus mekar selamanya.

Bercinta dengan Dakwah

Jika dakwah adalah nafas-nafas yang terhembus setiap saat, maka jagalah agar ia tetap terhirup dan kita tetap hidup kerananya.

Jika dakwah dan tarbiyah adalah pedang-pedang yang siap dihunuskan, maka jadilah dalang-dalang yang akan memainkannya di medan laga.

Jika dakwah adalah jalan yang panjang, maka jangan berhenti sebelum kita temukan penghujungnya yang terang-benderang.

Jika dakwah adalah bunga, maka serbukanlah rekahnya agar ia terus menebarkan wangian ke seluruh penjuru dunia.

Jika dakwah itu adalah lambang kecintaan yang mendalam, maka benihkan dan semaikanlah perasaan itu agar ia menjadi sesuatu yang sentiasa dirindui dan disayangi sehingga ke akhirnya

Lambang kecintaan

Kecintaan kepada dakwah akan terus subur dan hidup apabila jiwa dan hati kita sentiasa dihubungkan kepada Allah SWT dan dekat denganNya. Inilah rahsia untuk kesentiasaan untuk menghirup udara dakwah sepanjang hayat. Ia terletak pada kesolehan hati dan kesempurnaan jiwa yang bersih dan jernih.

Kecintaan kepada dakwah didasari dengan dasar yang sangat nyata, benar dan sahih. Dasar kecintaan ini adalah kecintaan yang mutlak kepada Allah SWT tanpa ragu-ragu dan syak. Ia terus berkembang subur dengan perasaan takut dan kecintaan yang sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dan antara lambang kecintaan kepada dakwah ialah kesanggupan dan sifat mujahadah yang tinggi melawan nafsu nafsu dan memerangi gejala dosa dan mungkar secara konsisten. Ia berlaku secara penuh sedar, faham dan yakin.

Seorang Salaful Soleh. Maimun Bin Mahran pernah berpesan :

“ Apabila seseorang hamba Allah SWT melakukan dosa maka akan wujudlah di dalam hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa itu dan bertaubat bersinarlah semula hatinya. Apabila dia kembali melakukan dosa akan tumbuhlah semula titik hitam di hati itu sehingga hatinya berkarat.”

Ungkapan Fudhail Bin ‘Iyadh ;

“ Bila engkau sulit untuk bangun di malam hari dan sulit berpuasa sunnah di siang harinya, ketahuilah engkau tengah terbelenggu oleh dosa-dosamu.”

Pesan seorang Ulama ;

“ Barang siapa yang ingin jiwanya bersih, maka bersihkanlah amal-amalnya. Barangsiapa yang membersihkan jiwanya, maka ia pasti dibersihkan, barangsiapa yang mengotori jiwa, maka ia akan dicemari.”

Tuan Haji Noorazman Shamsudin pernah menyebut dalam satu penyampaiannya ketika saya di IPT berkaitan Tarbiyah :

“ Tarbiyah bukan untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah (melaksanakan) untuk dakwah dan jihad.”

Muhammad Iqbal bermadah dengan bait-bait indah yang menyentuh rasa :

Bersihkanlah dirimu, lahir dan batinmu!

Hanya dengan kesucian ruh jua amanah dan risalah ini dapat engkau jalankan
Risalah dan amanah ini adalah suci

Dia tidak boleh dipegang oleh tangan yang kotor, jiwa yang berlumuran dosa dan noda
Hanyalah dengan kesucian ruh engkau dapat memikul tugas dan beban yang berat ini.

Sucikanlah dirimu, lahir dan bathin, baru engkau ajak manusia menempuh jalan kesucian
Thahirum Muthahir, suci dan mensucikan, itulah peribadi mukmin yang sejati

Tangan yang berlumuran darah maksiat tidak mungkin akan berbuat khairat kepada dunia dan manusia

Jiwa yang kotor dan penuh dosa tidak mungkin akan memberikan isi dan erti kepada dunia dan manusia.

Bekalan Kecintaan Terhadap Dakwah

Inilah bekalan yang terbaik untuk dibawa pulang di saat hari pertemuan dengan Allah SWT. Tidak bekalan yang lebih baik, daripada bekalan dakwah yang isinya ialah taqwa. Tanpa kecintaan yang sebenarnya terhadap dakwah illallah ini, sudah tentu kita tidak akan mempunyai keghairah untuk sentiasa bersama dengannya. Bergerak dan hidup untuk dakwah yang suci dan menyucikan ini.

Abdullah Nasih Ulwan dalam sebuah bukunya yang sangat baik untuk ditatapi iaitu Madrasah Para Duat dibawah tajuk “ Rohaniyah Dai” menekan tentang pentingnya bekalan taqwa kepada para dai. Katanya : “ Apabila engkau melangkahi jalan tersebut ( jalan dakwah), engkau akan merasai tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan, membekali sengkau dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwamu dengan sinaran kerohanian dan jadilah engkau insan yang soleh, mukmin yang bertaqwa, muslim yang warak dan lelaki yang ikhlas.”

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

( Al-Anfal : 29)

Ya Allah, bimbingilah aku dan ampunilah segala dosaku
Ya Allah, matikanlah aku pada jalan ini dengan penuh keredhaan dan rahmat Mu
Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada ummat ini seluruhnya untuk terus mengembangkan serta mendaulatkan syariatmu.
Ya Allah, tanamkanlah rasa cinta yang mendalam dalam diriku untuk terus mencintai deen Mu dan dakwah ini.

Sekian ~ alijr
KTD, 27 Jun 2010
10.01 pagi

Bagaimana Akhir kita?

Oleh: Muhammad As Suhaimi bin Shuhardi


"Adik - adik Selepas alam dunia kita akan ke mana?"

"Alam kubur...!!!" jawab mereka beramai - ramai

Alhamdulillah anak anak ini minda mereka sangat cerdas, apa yang disampaikan cepat sahaja mereka dapat, Ini lah yang dianamakan anak - anak seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, corak di atas kain putih ini masih banyak ruang perlu dilorekkan.

"Jadi adik - adik sudah bersedia?" saya menyoal kembali.


Alam kubur adalah pemulaan kepada sebuah pengakhiran yang tidak akan berakhir lagi. setelah kita telah menempuh takah kehidupan bermula dari alam roh dan menempuh alam rahim dan dilahirkan ke dunia ini dengan penuh susah payah dan kasih sayang oleh ibu kita dan diasuh, dan selepas itu kita menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab atas diri sendiri. yang menentukan pilihan dosa dan pahala,sehingga masa yang dijanjikan tiba, masa kematian kita,

Persoalannya adakah kita bersedia?

kita saya mencari dan menyiapkan bahan untuk kuliah kem little khalifah bagi anak anak staf koperasi muslimin, saya terjumpa satu klip video di youtube,



sungguh dahsyat melihat hamba Allah ini sedang menghadapi sakaratul maut, mana sangka sedang cergas berlari di padang bola sepak, tiba - tiba ditarik nyawa seperti direntap kasar. mana mungkin badan manusia dapat melakukan sesuatu seperti itu kecuali ada sesuatu yang merentapnya..!!!

Suatu petang saya melihat Pak long saya sedang meracun lalang, racun cecair itu berwarna hijau dan berbau tengik, sudah menjadi sifat saya ingin tahu dan cuba untuk memegang botol racun lalang itu, belum sempat untuk menyentuh paklong telah menegah saya, "jangan sentuh, bahaya racun itu macam jatuh motosikal"
racun lalang sangat merbahaya dan kalau tersentuh kulit boleh menyebabkan melepuh. menyentuhnya pun tak boleh apatah lagi meminumnya, dan manusia tak akan meminum racun hanya orang sudah tidak waras meminum racun.

begitu juga dosa, dosa itu ibarat racun, jadi hanya orang tidak waras sahaja akan buat dosa.

Dan mari kita menyoal diri kita. bagai mana akhirnya perjalanan hidup kita nanti setelah berapa banyak gelas racun dosa yang telah kita teguk?

MEMBERI MAKNA KEHIDUPAN

Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:20)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias

Cuba kita tanyakan kepada sepuluh orang, tentang makna kehidupan. Pasti kita perolehi pelbagai jawaban dan erti kehidupan. Kehidupan begitu sukar difahami maknanya, kerana jalan kehidupan itu tidak semudah garisan yang lurus.

Mungkin ada yang mengumpamakan hidup seperti bahtera, yang sedang melayari lautan yang luas dan penuh gelora. Tidak kurang juga yang melihat hidup ini sebagai satu perjuangan yang tidak berkesudahan, yang hanya akan henti bila nyawa berpisah dari jasad.

Jangan juga kita terkejut jika ada yang menerima kehidupan seadanya, kita hidup, makan-minum, tidur-baring, kerja-buat hanyalah sekadar mengisi masa dan menghabiskan usia, terkadang tanpa fokus dan matlamat yang jelas.

Begitulah makna kehidupan, yang bergantung kepada bagaimana seseorang menilai dan malaluinya. Nilai kehidupan banyak bergantung kepada nilai yang dianuti dan dipegang oleh mereka. Bagi mereka yang memandang tinggi nilai kehidupan, maka akan lebih bermakna dan bernilailah kehidupan itu baginya dan juga kepada orang lain.

Sebaliknya, mereka yang tidak memberi nilai kepada kehidupan, atau dirinya sendiri tidak punyai nilai untuk disuntikkan kepada kehidupan, maka hidup ini akan penuh masalah dan persoalan.

Perkara ini telah banyak dibincangkan oleh para pemikir Islam, yang menyebutnya sebagai ’krisis nilai’ yang sedang melanda ummah. ’Krisis Nilai’ ini telah lama melanda umat Islam, sejak negara bangsa uamt Islam ini terjajah dan terbelenggu oleh kuasa dan pemikiran barat suatu ketika dulu.

Umat Islam yang sebelum itu meletakkan nilai yang tinggi kepada Iman, Islam dan Ihsan, serta sentiasa mengejar kebahagiaan di akhirat, akhirnya terjerumus ke kancah kekeliruan dalam menilai kehidupannya. Penyusupan nilai-nilai barat dan sekularisme yang melanda bangsa terjajah, membawa padah kepada ummah. Akhirnya umat Islam terbelenggu dengan ’krisis nilai’ ini, dan kesannya masih terasa hingga kini.

Umat Islam masih lagi menjadi bangsa yang inferior, melihat dan menilai kehebatan ada pada orang lain, tapi tidak pada dirinya. Umat Islam manjadi banga peniru, memimik dan memuja apa jua budaya dan nilai barat yang tiba kepada mereka. Akhirnya, umat ini menjadi bangsa yang keliru dan tidak punyai jati diri.

Kelahiran generasi yang keliru dengan nilai diri ini mencetuskan tindakbalas berangkai yang menumbuhkan pelbagai masalah dan krisis masyarakat. Kita kini berhadapan dengan generasi yang tidak lagi kenal nilai dan harga diri. Lahirnya kelompok umat yang terputus dari akar sejarah dan pohon budaya silam yang penuh dengan ketinggian nilai dan kemurnian budi, tidak menambah apa-apa kebaikan selain kerosakan semata.

Bangsa yang tidak kenal diri, buta sejarah dan lupa diri ini menanti saat sahaja untuk berlakunya pelbagai kerosakan dan kemusnahan, seperti peristiwa yang pernah menimpa umat-umat terdahulu di dalam lintasan sejarah kemanusiaan.

Mungkin inilah punca dan titik tolak kepada pelbagai fenomena dan problema yang sedang melanda umat kita. Gejala sosial, keruntuhan akhlak, seks luar nikah, pembuangan bayi, keruntuhan institusi keluarga, kebejatan dan kejahatan moral, hilang budi bahasa dan pelbagai lagi krisis yang sedang kita hadapi, wajar direnungi puncanya.

Jika diamati sungguh-sungguh, maka ianya berkait rapat dengan krisis nilai yang diwarisi sejak zaman penjajahan lagi. Kita telah membesar menjadi bangsa yang hilang jati diri, terputus dari akar budi Islam, dan buta sejarah kegemilangan Ummah Islam zaman-berzaman.

Oleh itu, krisis nilai ini perlu ditangani segera agar kita kembali punyai nilai dan makna kehidupan. Hidup ini perlu diberi nilai, dan nilai terbaik yang menjadi sandaran kita semestinya Nilai Allah SWT. Kita perlu kembali mengambil nilai dan neraca Allah SWT di dalam kehidupan kita.

Apa yang dinilai mulia dan baik oleh Allah SWT, maka kita juga perlu mengambilnya sebagai kebaikan dalam hidup ini. Dan apa jua yang diberi nilai buruk dan keji oleh Allah SWT, maka kita perlu juga menolaknya dari mencemari kehidupan kita.

Kita juga perlu kembali mengenali nilai diri kita. Menyemak kembali akar budi bangsa kita. Menyambung kembali untaian sejarah silam umat terdahulu dan berusaha menyemarakkan kembali nilai murni ini dalam kehidupan generasi kini.

Apabila kita punyai nilai yang jitu ini, maka nilai kehidupan kita juga akan berubah. Hidup akan jadi lebih bermakna. Makna kehidupan inilah yang akan memberi impak dan pengaruh kepada masyarakat. Masyarakat yang kembali kepada nilai hidup sebenar, akan menemui kembali jati dirinya.

Apabila manusia kembali kepada jati dirinya, maka dia akan kembali kepada hakikat dirinya sebagai Hamba Allah SWT. Manusia yang kenal dirinya sebagai hamba, akan sedar diri, tidak sombong takbur, jahat dan perosak. Manusia yang kembali kepada nilai Allah SWT, akan berjaya meloloskan diri dari krisis nilai. Maka akhirnya manusia ini mampu memberi makna kepada kehidupannya.

Benarlah ungkapan yang masyhur:
”Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya”
(Man ’arafa nafsahu fa qad ’arafa Rabbahu)

MENGURUSKAN HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:18)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


Setiap insan punyai harapan. Bahkan harapan adalah salah satu naluri atau perasaan yang tertanam di dalam diri kita yang bergelar insan. Harapan menumbuhkan tekad dan usaha, dan putus harapan mengundang kekecewaan, duka dan nestapa.

Harapan juga disebut ’Asa’, terutama oleh penutur negara tetangga kita, Indonesia. Berbeza dengan kita yang menggunakan kalimat asa secara negatif, seperti ’putus asa’, saudara kita di sana menggunakan kalimat asa secara positif, seperti mana serangkap nasyid yang pernah saya dengar dari seberang:
”Sinsingkan lengan baju.....
Panjangkan asa.....
Binalah hari esok....
Untuk mencapai jaya....”

Justeru, harapan atau asa ini perlu diuruskan, kerana ianya ibarat tenaga pendam dalaman, yang menanti saat dan tika untuk meledak menghasilkan letusan kejayaan dalam kehidupan. Seseorang yang punyai harapan yang tinggi menggunung, pasti bermotivasi untuk melakukan gerakerja yang menjurus ke arah merealisasikan harapan tersebut. Sebaliknya, mereka yang mudah berputus asa, akan tewas sebelum berjuang lagi!

Jika diturutkan hati dan nafsu, pastinya harapan manusia tidak akan kenal had atau siling. Manusia berharap akan hidup selama-lamanya, berharap dapat kahwin anak raja, berharap dapat harta seperti Qarun, berharap berkuasa sehebat Sulaiman, dan macam-macam lagi pengharapan yang terlintas di fikirannya.

Harapan yang terlalu menggunung, tanpa berjejak ke bumi nyata, akan mengundang parah jika tak kesampaian. Ia akan jadi seperti Mat Jenin, yang berharap menjadi kaya dengan hanya berangan-angan di atas pokok kelapa, dan akhirnya sakit sendirian bila jatuh bersama-sama buah kelapa ke bumi.

Ada juga yang kecewa, kerana cinta dan harapan mendalam terhadap seseorang yang disukainya, bertukar menjadi mimpi ngeri, apabila kasih tidak berbalas, atau cinta terlarang oleh keluarga, atau maut memisahkan dua insan bercinta ini. Jika ketika harapan percintaan ini berderai oleh pelbagai faktor tersebut, jiwa gagal diurus dengan baik, putus harapan ini bisa mengundang putus nyawa, bunuh diri dan tindakan lain yang membahayakan pasangan kekasih tersebut.

”Nasi lemak buah bidara....
Sayang selasih hamba lurutkan....
Tinggal emak, tinggal saudara....
Kerana kasih hamba turutkan....”
Menguruskan harapan perlu beberapa kemahiran:
- kemahiran mengenalpasti kemahuan dan harapan kita
- kemahiran menilai realiti dan keupayaan kita
- kemahiran penyesuaian antara kemahuan dan keupayaan
- kemahiran menguruskan jurang antara harapan dan kenyataan
- kemahiran menukar halangan kepada peluang
- penyerahan yang total kepada taqdir, Qadha dan Qadar Allah SWT

Jika dituruti langkah-langkah di atas, maka kita akan bijak menyesuaikan harapan kita, agar selaras dengan keupayaan dan realiti. Mengharap sesuatu yang mustahil dicapai, atau di luar jangkauan kita, pastinya akan menempah kegagalan dan kekecewaan. Sebaliknya, jika kita bijak meletakkan sasaran dan matlamat yang ’mampu-capai’, maka setiap hari kita akan menghitung kejayaan demi kejayaan, yang pastinya meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi kita untuk terus berusaha dan berjaya.

Apa yang telah dibincangkan adalah harapan yang boleh diurus oleh diri sendiri, seperti harapan untuk melanjutkan pelajaran, harapan untuk berjaya dalam peperiksaan, harapan untuk mengejar kerjaya dan kekayaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara yang di dalam ’genggaman tangan kita’. Berjaya atau gagal kita mengejar harapan itu, bergantung sepenuhnya kepada usaha dan kerja yang kita lakukan, ditambah dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

Tetapi bagaimana pula harapan yang melibatkan pihak lain? Kita berharap mendapat ketua yang adil, kita berharap mendapat kekasih dan teman hidup sejati, kita mengharapkan usaha kita dihargai, dan segala macam pengharapan yang melibatkan insan lain.

”Harapkan pagar, pagar makan padi....”

Ini satu pepatah yang menggambarkan, adakalanya pengharapan kepada orang lain, sukar dijangkakan. Kekecewaan lebih banyak berlaku di dalam perhubungan antara dua pihak, berbanding mereka yang hanya kecewa dengan diri sendiri. Putus asa akan datang, bilamana asa kita tidak bersambut oleh pihak lain. Dalam situasi ini, apa yang boleh dilakukan?

Ada juga kes, mereka yang kecewa dengan organisasi, kecewa dengan sistem yang ada, atau kecewa dengan masyarakat sekeliling. Kita sering mendengar ucapan para pemimpin mengenai kekecewaan mereka terhadap masyarakat, seperti ”kemudahan dunia pertama, tetapi mentaliti dunia ketiga!”. Jelas sekali, kekecewaan itu kerana adanya jurang antara harapan dan kenyataan.

Kekecewaan bukanlah sesuatu yang negatif secara mutlak, bahkan jika diambil secara positif, ia boleh ditukar menjadi tenaga yang kuat untuk menjana kebangkitan mereka yang pernah tewas. Kekecewaan memberi ruang kita menilai kembali kekuatan diri, mengukuhkan kembali sendi-sendi yang longgar, memantapkan yang lemah dan merancang keupayaan dan kekuatan baru. Kekecewaan bukan untuk ditangisi, tetapi untuk direnungi dan difahami. Kekecewaan bukan diubati dengan tangisan (walaupun tangisan juga perlu untuk melepaskan perasaan), tetapi dirawat dengan keazaman dan ketinggian himmah dan perasaan. Seseorang yang bijak menguruskan kekecewaan, dan bangkit dari kejatuhan, insyaAllah akan beroleh hikmah dalam menguruskan harapan.

Tidak semua harapan sendiri dapat digapai. Tidak semua harapan orang lain terhadap kita perlu dipenuhi. Namun jangan jemu untuk sentiasa mengharapkan yang terbaik.

Di dalam Islam, salah satu sifat seorang mukmin, adalah Raja’ (pengharapan) kepada Allah SWT. Harapan kepada Allah SWT tidak akan dikecewakan, kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kita meletakkan harapan.

”Harapkan bunga, bunga kan layu...
Harapkan manusia, suka menipu...
Harapkan harta, akan binasa...
Harapkan Allah, tidak akan kalah....”

MEMENUHI HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:19)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


”Tuhanku!
Aku tidak layak untuk syurgaMu
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa nerakaMu
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku
Ampunkanlah dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar”


Begitulah bait-bait syair lama yang sering dilagukan sejak dahulu hingga kini, sama ada dalam versi arab (Ilahi lastu...) mahupun versi melayu seperti tertera di atas. Ada yang meriwayatkan ianya adalah ratapan para sufi terdahulu, ada yang menisbahkan kepada Rabi’atul ’Adawiyah dan sebagainya, Wallahu a’lam.

Siapapun yang mengajarkan ungkapan tersebut, bagaimanapun alunan dan iramanya, yang penting bait-bait syair tersebut sarat dengan harapan yang menggunung. Pengharapan seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Pengampun, agar menerima diri Sang Hamba sebagai ahli syurga, agar Sang Hamba terselamat daripada azab neraka yang ganas, dan setulus harapan agar keampunan Allah SWT dapat menghapuskan dosa-dosanya.
Apabila ada pengharapan, lazimnya ianya adalah antara dua pihak: pihak yang mengharap, dan pihak yang diharapkan. Secara tabi’i pula, pihak yang mengharap berpada pada posisi lemah, di bawah, serba kekurangan dan pasrah. Manakala pihak yang diharapkan berada pada kedudukan berkuasa, gagah, penuh upaya dan kudrat serta memiliki iradat dan belas ihsan.

Kerana itulah, di antara adab berdoa kepada Allah SWT, adalah meletakkan pengharapan yang bulat kepada Allah SWT, pasrah sepenuhnya kepada Tuhan yang Maha Suci lagi Maha Tinggi, Zat yang memiliki segala Keagungan dan Kekuatan, yang Maha Pengasih dan Penyayang, dan pasti Mendengar ratapan hambaNya, dan berjanji akan menunaikan do’a yang tulus dan ikhlas, kerana Allah tidak akan memungkiri janjiNya.

Ertinya, apabila kita mengharap kepada Allah SWT, hati kita perlu sepenuhnya meyakini dan mengharap bahawa Allah SWT pasti memenuhi harapan dan do’a kita, kerana Allah Maha Kuat, Maha Kuasa, tidak berkehendak kepada sekutu atau kelulusan sesuatu yang lain dalam mengaturkan urusannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Mukmin ayat 60, mafhumnya:

”Berdo’alah kepadaKu, pasti Aku tunaikan untuk kamu”


Inilah bentuk terunggul atau ideal antara sang pengharap dengan Yang Maha Memenuhi Harapan. Apabila hubungan antara kedua-duanya kukuh, mantap dan teguh, maka segala harapan akan menjadi kenyataan, dengan izin Allah SWT.

Yang mengharap akan merasakan dirinya sebagai hamba yang serba lemah, kerdil dan kekurangan, tiada daya dan kekuatan, kecuali dengan Allah SWT. Penyerahan yang total ini menjadikan dirinya benar-benar ’Hamba Allah’ dalam ertikata yang sebenarnya. Hakikat hamba pada zaman dahulu, hatta nyawa dan kehormatannya pun dimiliki oleh tuan, apatah lagi tenaga, keringat, masa dan sebagainya, semua dicurahkan untuk memenuhi keperluan tuan yang memilikinya.

Maka apabila kita ingin Allah SWT memenuhi harapan dan do’a kita, maka kita juga perlu memenuhi ciri-ciri kehambaan kepada Allah SWT. Adakah kita benar-benar telah menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah SWT? Masa kita, tenaga dan keringat kita, ke mana disalurkan? Wang ringgit, harta dan kekayaan kita, ke mana dibelanjakan? Usaha dan pemikiran kita, ke mana dicurahkan? Apakah kepada Allah SWT, atau kepada tujuan-tujuan yang lain?

Malulah kita kepada Allah SWT, jika kita hanya mengharapkan Allah SWT memenuhi segala pengharapan kita, tetapi dalam waktu yang sama, kita tidak memenuhi kriteria, KPI atau ’harapan’ Allah SWT kepada kita. Di manakah akhlaq kita dengan Allah SWT, jika hanya Allah SWT sahaja yang memenuhi keperluan kita, tetapi kita tidak ambil pusing keperluan kita untuk menjadi hamba Allah SWT?

Menjadi hamba Allah SWT juga bererti kita akan ’merdeka’ daripada yang lain selain Allah SWT. Inilah sebahagian daripada tuntutan kalimah tayyibah yang sering dilafazkan,
”la Ilaha illa Allah – tiada tuhan selain Allah”
Ertinya, tiada tempat pengharapan mutlak, kecuali kepada Allah SWT. Tiada yang kita aman dan selesa meletakkan harapan dan permintaan, selain Allah SWT.


Implikasinya, jiwa ’hamba Allah’ tersebut akan merdeka daripada makhluq, kerana makhluq bersifat lemah, tidak mampu memenuhi segala harapan, bahkan seringkali mengecewakan sesama makhluq dalam urusan penghidupan.

Jiwa merdeka ini, akan menjadi penawar kepada kekecewaan apabila harapan tak tercapai. Ia juga ubat kepada perasaan sedih kerana perlakuan manusia kepada kita, serta penyembuh segala penyakit hati kerana perbuatan manusia terhadap kita. Jiwa merdeka sentiasa merasakan :

”Aku masih punyai Allah SWT yang Maha Kuasa,
mengatasi kamu semua yang menyusahkanku”


Jiwa merdeka ini adalah jiwa hamba Allah SWT yang sebenar, kerana ianya benar-benar menjadi Hamba Allah SWT dan merdeka daripada kekangan, kongkongan dan ikatan lain selain ikatan aqidahnya dengan Allah SWT. Apabila bebas dari ikatan dunia yang menipu ini, maka nescaya jiwa itu akan berada dalam genggaman Allah SWT yang Maha Kuasa, dan tiadalah yang lebih kuasa daripada Allah SWT. Jiwa merdeka inilah jiwa yang kuat, yang memiliki kekuatan untuk mencapai dan memenuhi harapannya, bersandarkan kekuatan Allah SWT.

Sebaliknya, jiwa yang tidak merdeka, akan sentiasa terbelenggu dengan ikatan-ikatan lain yang melemahkan, dan akan menjadi hamba dan pengemis kepada manusia dan makhluq lain yang serba lemah. Hendak dapat projek, kena jadi pengemis kepada pihak berkuasa, nak dapat biasiswa, kena dapat pengesahan dan segala macam syarat, nak dapat kerja kena merendah diri, merayu dan sebagainya, dan akhirnya, nak dapat sesuap makan, perlu mengemis dan menghina diri sesama insan. Di manakah kemerdekaan jiwa seperti ini?

Penuhilah harapan kita, dengan menjadikan jiwa kita merdeka daripada makhluq, dan mengharap sepenuhnya kepada Allah SWT, kerana Allah sebaik-baik yang memenuhi harapan kita.

Renunglah sabda Rasulullah SAW, dalam Hadith ke 38 Matan Arbain An-Nawawi, mafhumnya:
”Sesungguhnya Allah berfirman, ’barangsiapa yang memusuhi para WaliKu, maka Aku nyatakan perang kepadanya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Kucintai daripada apa yang telah Aku wajibkan. HambaKu tidak henti-hentinya mendekatiKu dengan ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya, maka ketika Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, Aku menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, Aku menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, Aku menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Seandainya ia meminta kepadaKu, nescaya akan Kuberi, dan seandainya ia memohon perlindunganKu, pasti Aku akan melindunginya” [Bukhari]

MENGHARGAI MINDA




Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:17)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias

Di antara kurniaan Allah SWT yang paling berharga kepada kita adalah Aqal. Perbezaan utama manusia daripada haiwan dan makhluk lain adalah keupayaan otak kita untuk berfikir dan memahami, atau juga disebut keupayaan aqal atau kekuatan minda.

Bahkan di dalam surah al-An’am, Allah SWT menempelak mereka yang tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan minda untuk melihat, merenung, mendengar, memahami dan menghayati segala penciptaan dan kejadian Allah SWT disekeliling kita ini, diumpamakan seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi.

Justeru, mukmin yang bijak, yang memiliki kekuatan minda, perlu menggunakan segala kekuatan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT ini untuk menjana minda positif. Minda positif ini telah kita bicarakan pada keluaran yang lalu.

Seorang pengkaji minda barat, Howard Gardner namanya, cuba menjelaskan kepada kita bahawa memiliki minda positif bererti keupayaan kita untuk menjana juzuk-juzuk minda kita agar mencapai tahap yang terbaik. Beliau membahagikan minda kepada beberapa juzuk:

• Disciplined mind
• Synthesizing mind
• Creating mind
• Respectful mind
• Ethical mind

Disciplined mind adalah keadaan seseorang yang menggunakan mindanya sebagai asas dan pengawal kepada disiplin dan tingkahlaku sehariannya. Sorang yang memiliki ‘minda berdisiplin’ yang tinggi, akan lebih teratur urusan dan kehidupannya berbanding mereka yang tidak berdisiplin. Minda berdisiplin juga melahirkan manusia yang berperaturan dan mudah mematuhi syariat dan undang-undang. Setiap kerja dan usaha dirancang secara rapi, penuh tertib dan persiapan yang rapi. Hasilnya, tugasan dan tanggungjawab yang diberikan akan dapat dilaksanakan secara sempurna dan baik.

Memiliki minda berdisiplin adalah baik, tetapi untuk terus maju dan menghasilkan mutu kerja yang baik, kita perlukan Synthesizing mind. Minda ini bermaksud keupayaan seseorang untuk mencerna suatu yang lebih baik dan bermutu, daripada adunan ramuan dan komponen yang lain. Ibarat proses fotosintesis yang dilakukan oleh tumbuhan, yang menghasilkan oksigen dan karbohidrat, daripada komponen Karbon Dioksida, Air dan juzuk2 tanah yang lain, dengan bantuan cahaya matahari. Fotosintesis adalah proses yang amat penting, bahkan menjadi proses pertama di dalam rantaian makanan semua makhluk di atas mukabumi ini. Maka begitu juga memiliki minda sintesis, akan menjadikan kita seorang yang produktif, sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru, yang bermanfaat kepada orang lain. Mereka yang memiliki minda sintesis sentiasa suka memberi sesuatu kepada orang lain, dan dapat menjana sesuatu yang positif dari kepelbagaian sumber yang dimilikinya.

Untuk menjadi produktif dan terus berkarya, maka kita perlukan pula Creating mind. Minda ini adalah minda yang kreatif, innovatif dan sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru. Minda kreatif selalunya berfikir di luar dari kotak fikiran yang biasa, dan datang dengan segala macam idea, ilham, cadangan dan saranan yang menarik untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara. Mereka yang memiliki minda kreatif akan mampu menghadapi masalah dengan baik, dan selalunya akan menjadi seorang perekacipta yang baik.

Namun, jika terlalu kreatif tanpa panduan, akan mengundang masalah pula, bila mana ciptaan, kreativiti dan idea kita sukar diterima oleh orang lain. Keupayaan untuk menerima perbezaan pendapat dan idea ini memerlukan Respectful mind, iaitu keupayaan untuk menghormati orang lain. ‘Minda Penghormatan’ ini menjadi asas kepada budi bahasa dan sopan santun. Mereka yang memiliki respectful mind ini akan dapat mengawal diri untuk menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Mereka juga terdidik untuk menghormati peraturan, syariah, undang-undang, adat dan norma masyarakat, dan semua ini dapat mengelakkan berlakunya konflik dan kontroversi di dalam masyarakat. Apabila minda ini semakin melemah, maka kita dapat saksikan kepincangan di dalam peradaban masyarakat dan bangsa tersebut.

Akhirnya, yang menjadi kayu ukur kita untuk menghormati sesuatu atau tidak adalah Ethical mind. Minda berEtika ini adalah minda yang mempunyai kayu ukur yang jelas, iaitu nilai-nilai murni dan etika dalam kehidupan. Mereka yang mempunyai nilai etika yang tinggi, pastinya akan mempunyai kekuatan dalaman untuk menolak segala bentuk kejahatan, kezaliman, kecurangan, korupsi dan diskriminasi. Etika muslim mengajar kita mengambil neraca Allah SWT sebagai ukuran. Bagi kita, apa yang Allah SWT kata baik, maka itulah baik untuk kita, dan begitu juga sebaliknya. Etika menjadi seseorang memiliki harga diri yang tinggi, yang tidak mudah dijualbeli oleh harga dunia yang rendah. Etika juga menjadikan seseorang mempunyai tujuan dan arah hidup yang jelas, dan dapat menewaskan nafsu dan rangsangan luar yang merosakkan. Etika juga melahirkan peribadi unggul, yang berpegang kepada nilai-nilai kebenaran dan keadilan sejagat. Masyarakat beretika akan menjadi masyarakat yang adil, toleransi dan pertengahan, tidak ekstrim mahupun melampau.

Justeru, kita perlu membangunkan potensi diri kita agar memiliki dan meningkatkan kesemua komponen minda ini. Kita perlu melatih dan mendidik diri kita agar memiliki minda berdisiplin, boleh melakukan sintesis, kreatif, menghormati orang lain dan beretika. Sistem pendidikan juga perlu mengambilkira semua potensi diri ini yang perlu dibangunkan.

Kita juga perlu seimbang di dalam menguruskan minda. Janganlah atas nama kreativiti, kita melanggar segala adat resam dan nilai-nilai murni masyarakat, dan gagal menghormati norma dan peraturan sedia ada. Begitu juga, oleh kerana terlalu menekankan aspek disiplin hingga merencatkan keupayaan untuk berkarya dan menghasilkan sesuatu, adalah suatu yang amat malang. Islam sentiasa menganjurkan keseimbangan dalam menguruskan minda kita.

Dengan keupayaan menguruskan minda ini, kita akan menjadi seorang yang positif, dan sentiasa menghasilkan sesuatu yang positif di dalam kehidupan kita. Minda positif, dan hasil positif daripada minda tersebut, akan membawa perubahan yang positif dalam kehidupan bermasyarakat. Kesan positif inilah yang perlu kita suburkan dan sebarkan di dalam konteks kehidupan hari ini.

Semoga kita semua berjaya menjana minda positif!




MENJANA MINDA POSITIF



Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:16)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias

Bila bicara soal perubahan, kita seringkali cuba mengaitkan perubahan dengan Minda Positif. Kenapa? Kerana Positif itu, jika di segi matematiknya pun sudah diberi tanda ‘+’, berbanding Negatif yg diwakili oleh simbol ‘-‘. Simbol Negatif, dalam sebutan ilmu hisab melayu diungkap dengan kalimah ‘Tolak’. Nah, jelas sekali Minda Negatif adalah minda yang ‘menolak’ perubahan. Justeru, lawannya yakni Minda Positif adalah minda yang menerima (campur) perubahan.

Untuk melatih minda kita agar dapat menerima perubahan, maka ada baiknya kita memahami faktor-faktor yang menyebabkan ‘penolakan’ terhadap sesuatu perkara tersebut. Secara umumnya, ada tiga faktor utama mengapa sesuatu perubahan itu ditolak; a) Berada di Zon Selesa, b) Lemahnya Himmah dalam diri, dan, c) Tekanan luaran.

Faktor pertama dan utama yang menjadi alasan penolakan terhadap sesuatu perubahan adalah Zon Selesa (Complacent). Apa itu Zon Selesa? Ianya adalah keadaan seseorang atau sesuatu yang telah berada pada tahap stabil, selesa, tiada ancaman dan menyeronokkan. Contohnya, seseorang pekerja yang telah bertugas di sesebuah organisasi untuk beberapa waktu, tentunya telah terbiasa dengan budaya dan cara kerja organisasi tersebut. Beliau juga mungkin telah mencapai tahap kemajuan kerjaya tertentu, telah diberi pangkat dan jawatan yang agak baik, dengan bayaran gaji, elaun dan kemudahan yang juga baik. Beliau mungkin telah membeli rumah berdekatan dengan tempat kerjanya, dan kini hanya mengambil masa lima minit sahaja memandu untuk tiba ke pejabat. Kedudukan kewangan yang baik ini juga membolehkan beliau memiliki kenderaan yang baik, dan memenuhi keperluan keluarga dengan sempurna. Anak-anaknya juga bersekolah di sekolah yang berhampiran, dan setiap hari isterinya akan menguruskan urusan persekolahan anak (kerana isteri tidak perlu lagi bekerja, kerana pendapatan suami sudah memadai untuk menyara keperluan keluarga).

Dalam situasi di atas, pekerja berkenaan boleh lah dikatakan telah mencapai tahap Zon Selesa, iaitu kehidupan ini telah menjadi begitu selesa dan memuaskan baginya. Beliau tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan kemajuan kerjaya, kerana laluan kerjayanya seperti telah terbentang luas. Begitu juga perkembangan keluarga, khususnya anak-anak, telah terjaga, dan segala keperluan asas hidup seperti rumah, kenderaan dan sebagainya telah terpenuhi. Maka apakah lagi yang dicari dalam hidup ini? Mengapa perlu keselesaan ini dipertaruhkan untuk sesuatu yang lain? Semestinya tidak terlintas lagi di kotak fikirannya untuk mencari kejaya baru, atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kebahagiaan rumahtangga dan keluarganya. Jauh sekali untuk beliau melibatkan diri dalam urusan atau kegiatan yang boleh merosakkan kerjaya dan masa depannya. Lantaran itu, Zon Selesa ini seolah-olah telah merantai kakinya daripada melakukan perubahan atau tindakan yang boleh menganggu-gugat keselesaan yang sedang dikecapinya.

Mereka yang terperangkap di dalam Zon Selesa, selalunya sukar berubah atau menukar gaya hidupnya. Bayangkan jika tiba-tiba organisasi tempat kerjanya tutup atau berpindah, amat sukar untuk mereka menerimanya. Perubahan menjadi suatu yang amat memeritkan dan payah kepada mereka, dan tekanan yang dihadapi juga akan lebih tinggi.

Seperkara lagi, berada di Zon Selesa akan melahirkan faktor kedua dalam menolak perubahan, iaitu ‘Lemahnya Himmah Diri’. Himmah bererti kekuatan dalaman yang menjadi pendorong kepada keberhasilan dan pencapaian sesuatu matlamat dan tujuan. Himmah yang tinggi akan mendorong pemiliknya untuk lahir sebagai pejuang sejati, yang sanggup berkorban mempertahankan keyakinan dan jati dirinya menghadapi cabaran luar. Himmah juga adalah rahsia kejayaan semua pejuang dan juara sepanjang lintasan sejarah. Di sana ada kata-kata yang diungkapkan “Sesuatu perjuangan itu pasti dimulai oleh Sang Pemberani”. Kenapa? Hanya mereka yang berani, punyai himmah yang tinggi sahaja akan sanggup keluar dari zon selesanya untuk menerajui sesuatu perubahan yang dihajatkan.

Lantaran itulah, sejarah seringkali mengajar kita bahawa pengikut dan pendokong setia para Nabi dan Rasul, kebanyakannya adalah dari kalangan Mustadh’afin (mereka yang dhai’f atau lemah), dari golongan hamba, miskin dan faqir, atau bukan di kalangan tokoh dan pemuka masyarakat. Ini adalah kerana, golongan ini tidak berada di zon selesa, himmah mereka untuk memajukan diri adalah tinggi, dan kesanggupan mereka mengorbankan harta bahkan nyawa untuk sebuah perjuangan adalah mutlak, kerana ‘they have nothing to lose’!

Amat berbeza sekali dengan para al-Mala’ atau pemuka dan tokoh masyarakat, seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan sendiri. Da’wah dan perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dilihat sebagai sesuatu yang boleh menganggu-gugat kuasa dan penguasaan mereka ke atas masyarakat. Jika menyahut seruan perubahan, mereka mungkin kehilangan pengaruh, jawatan dan pangkat, maka hilanglah zon selesa mereka.

Fenomena ini tetap berlaku pada zaman ini. Ini lah yang melahirkan kelesuan di dalam masyarakat moden kini, yang hidupnya sekadar berjuang mengisi perut dan tembolok, menambah kekayaan, pangkat dan gelaran, menggapai mimpi indah di buai nafsu dan syahwat, maka hanyutlah umat kini dalam zon selesa. Maka semangat juang untuk menegakkan kebenaran akan pudar, daya juang akan lemah, himmah dan harga diri akan tergadai dan runtuhlah sistem kehidupan bermasyarakat di atas asas Iman dan Islam. Cabaran dan tekanan ini akan lebih dirasai semakin seseorang itu mendaki tinggi ke puncak zon selesanya. Semakin besar pangkat, semakin tinggi jawatan, semakin banyak gaji, maka semakin sukar lah berbicara soal perjuangan. Inilah di antara mehnah dan fitnah yang banyak menggelincirkan para du’at dan pejuang sejati. Jika dahulu, peringkat awal perjuangan, ujian-ujian ini belum ditemui, zon selesa masih belum dikecapi, rantai pangkat dan jawatan belum kuat mengikat, para pejuang begitu aktif di medan. Namun, beringatlah kalian, awas lah akan ujian dan tipu helah dunia ini.

Faktor pertama dan kedua yang dibincangkan, lebih menjurus kepada mereka yang ingin menjadi Agen Perubahan. Justeru, jika kita ingin menjadi Agen Perubahan atau Anasir at-Taghyir, maka kita perlu punyai himmah yang tinggi yang bisa mengangkat darjat kita keluar dari zon selesa yang menjerat ini. Inilah antara ciri-ciri Muslim sejati, yang diungkapkan di dalam Al-Quran sebagai mereka yang tetap beriman dan bersabar, sama ada dalam susah atau senang.

Adapun faktor ketiga iaitu Tekanan Luar akan terkesan kepada masyarakat umum. Ia berkait rapat dengan pengaruh luar dari media, sebaran mahupun jentera propaganda tertentu. Masyarakat akan mudah tertipu dan terpengaruh dengan mainan media dan sebaran. Begitu juga tekanan masyarakat sekeliling, jiran tetangga, kaum kerabat, rakan sepejabat, hatta takanan majikan, atau pihak yang memiliki kekuasaan atas seseorang, pastinya memberi impak dan kesan terhadap penerimaan sesuatu perubahan.

Tekanan luar ini sebenarnya ibarat pisau yang tajam, bergantung kepada tangan yang memegangnya. Jika digunakan dengan baik, pisau ini banyak kebaikannya, dan sebaliknya jika jatuh ke tangan yang tidak bertanggungjawab, akan mendatangkan huru-hara dan kecederaan. Tidak dinafikan berlaku di dalam catatan sejarah, betapa berlakunya beberapa arus perubahan di dunia ini, kesan dari pengaruh dan tekanan luar yang memihak kepada perubahan tersebut. Maka, para pejuang dan pendokong perubahan, perlu bijak menilai, meneliti dan menguruskan elemen-elemen tekanan luar ini, agar dapat disalurkan secara positif dan akhirnya menjadi arus yang menghasilkan perubahan yang dicita-citakan.

Akhirnya, renungilah apa yang telah kita pelajari dari Fizik. Jasad yang pegun dan stabil di puncak bukit, tidak akan bergolek ke bawah, melainkan diberikan sedikit tolakan atau ‘tekanan’ daya luar. Apabila ditolak, tenaga inertia dan keupayaan yang tersimpan di dalamnya akan memacu jasad itu untuk bergolek ke bawah dengan lajunya. Inilah gambaran perubahan, dengan daya luar yang betul, diadun dengan himmah dalaman dan keberanian keluar dari zon selesa (stabil), maka perubahan akan dapat digerakkan. Justeru, mari kita jana minda positif untuk menghadapi faktor-faktor penghambat perubahan ini.

Powered by Blogger