MENGURUSKAN HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:18)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


Setiap insan punyai harapan. Bahkan harapan adalah salah satu naluri atau perasaan yang tertanam di dalam diri kita yang bergelar insan. Harapan menumbuhkan tekad dan usaha, dan putus harapan mengundang kekecewaan, duka dan nestapa.

Harapan juga disebut ’Asa’, terutama oleh penutur negara tetangga kita, Indonesia. Berbeza dengan kita yang menggunakan kalimat asa secara negatif, seperti ’putus asa’, saudara kita di sana menggunakan kalimat asa secara positif, seperti mana serangkap nasyid yang pernah saya dengar dari seberang:
”Sinsingkan lengan baju.....
Panjangkan asa.....
Binalah hari esok....
Untuk mencapai jaya....”

Justeru, harapan atau asa ini perlu diuruskan, kerana ianya ibarat tenaga pendam dalaman, yang menanti saat dan tika untuk meledak menghasilkan letusan kejayaan dalam kehidupan. Seseorang yang punyai harapan yang tinggi menggunung, pasti bermotivasi untuk melakukan gerakerja yang menjurus ke arah merealisasikan harapan tersebut. Sebaliknya, mereka yang mudah berputus asa, akan tewas sebelum berjuang lagi!

Jika diturutkan hati dan nafsu, pastinya harapan manusia tidak akan kenal had atau siling. Manusia berharap akan hidup selama-lamanya, berharap dapat kahwin anak raja, berharap dapat harta seperti Qarun, berharap berkuasa sehebat Sulaiman, dan macam-macam lagi pengharapan yang terlintas di fikirannya.

Harapan yang terlalu menggunung, tanpa berjejak ke bumi nyata, akan mengundang parah jika tak kesampaian. Ia akan jadi seperti Mat Jenin, yang berharap menjadi kaya dengan hanya berangan-angan di atas pokok kelapa, dan akhirnya sakit sendirian bila jatuh bersama-sama buah kelapa ke bumi.

Ada juga yang kecewa, kerana cinta dan harapan mendalam terhadap seseorang yang disukainya, bertukar menjadi mimpi ngeri, apabila kasih tidak berbalas, atau cinta terlarang oleh keluarga, atau maut memisahkan dua insan bercinta ini. Jika ketika harapan percintaan ini berderai oleh pelbagai faktor tersebut, jiwa gagal diurus dengan baik, putus harapan ini bisa mengundang putus nyawa, bunuh diri dan tindakan lain yang membahayakan pasangan kekasih tersebut.

”Nasi lemak buah bidara....
Sayang selasih hamba lurutkan....
Tinggal emak, tinggal saudara....
Kerana kasih hamba turutkan....”
Menguruskan harapan perlu beberapa kemahiran:
- kemahiran mengenalpasti kemahuan dan harapan kita
- kemahiran menilai realiti dan keupayaan kita
- kemahiran penyesuaian antara kemahuan dan keupayaan
- kemahiran menguruskan jurang antara harapan dan kenyataan
- kemahiran menukar halangan kepada peluang
- penyerahan yang total kepada taqdir, Qadha dan Qadar Allah SWT

Jika dituruti langkah-langkah di atas, maka kita akan bijak menyesuaikan harapan kita, agar selaras dengan keupayaan dan realiti. Mengharap sesuatu yang mustahil dicapai, atau di luar jangkauan kita, pastinya akan menempah kegagalan dan kekecewaan. Sebaliknya, jika kita bijak meletakkan sasaran dan matlamat yang ’mampu-capai’, maka setiap hari kita akan menghitung kejayaan demi kejayaan, yang pastinya meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi kita untuk terus berusaha dan berjaya.

Apa yang telah dibincangkan adalah harapan yang boleh diurus oleh diri sendiri, seperti harapan untuk melanjutkan pelajaran, harapan untuk berjaya dalam peperiksaan, harapan untuk mengejar kerjaya dan kekayaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara yang di dalam ’genggaman tangan kita’. Berjaya atau gagal kita mengejar harapan itu, bergantung sepenuhnya kepada usaha dan kerja yang kita lakukan, ditambah dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

Tetapi bagaimana pula harapan yang melibatkan pihak lain? Kita berharap mendapat ketua yang adil, kita berharap mendapat kekasih dan teman hidup sejati, kita mengharapkan usaha kita dihargai, dan segala macam pengharapan yang melibatkan insan lain.

”Harapkan pagar, pagar makan padi....”

Ini satu pepatah yang menggambarkan, adakalanya pengharapan kepada orang lain, sukar dijangkakan. Kekecewaan lebih banyak berlaku di dalam perhubungan antara dua pihak, berbanding mereka yang hanya kecewa dengan diri sendiri. Putus asa akan datang, bilamana asa kita tidak bersambut oleh pihak lain. Dalam situasi ini, apa yang boleh dilakukan?

Ada juga kes, mereka yang kecewa dengan organisasi, kecewa dengan sistem yang ada, atau kecewa dengan masyarakat sekeliling. Kita sering mendengar ucapan para pemimpin mengenai kekecewaan mereka terhadap masyarakat, seperti ”kemudahan dunia pertama, tetapi mentaliti dunia ketiga!”. Jelas sekali, kekecewaan itu kerana adanya jurang antara harapan dan kenyataan.

Kekecewaan bukanlah sesuatu yang negatif secara mutlak, bahkan jika diambil secara positif, ia boleh ditukar menjadi tenaga yang kuat untuk menjana kebangkitan mereka yang pernah tewas. Kekecewaan memberi ruang kita menilai kembali kekuatan diri, mengukuhkan kembali sendi-sendi yang longgar, memantapkan yang lemah dan merancang keupayaan dan kekuatan baru. Kekecewaan bukan untuk ditangisi, tetapi untuk direnungi dan difahami. Kekecewaan bukan diubati dengan tangisan (walaupun tangisan juga perlu untuk melepaskan perasaan), tetapi dirawat dengan keazaman dan ketinggian himmah dan perasaan. Seseorang yang bijak menguruskan kekecewaan, dan bangkit dari kejatuhan, insyaAllah akan beroleh hikmah dalam menguruskan harapan.

Tidak semua harapan sendiri dapat digapai. Tidak semua harapan orang lain terhadap kita perlu dipenuhi. Namun jangan jemu untuk sentiasa mengharapkan yang terbaik.

Di dalam Islam, salah satu sifat seorang mukmin, adalah Raja’ (pengharapan) kepada Allah SWT. Harapan kepada Allah SWT tidak akan dikecewakan, kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kita meletakkan harapan.

”Harapkan bunga, bunga kan layu...
Harapkan manusia, suka menipu...
Harapkan harta, akan binasa...
Harapkan Allah, tidak akan kalah....”

0 Response to "MENGURUSKAN HARAPAN"

Post a Comment

Powered by Blogger