MEMENUHI HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:19)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


”Tuhanku!
Aku tidak layak untuk syurgaMu
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa nerakaMu
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku
Ampunkanlah dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar”


Begitulah bait-bait syair lama yang sering dilagukan sejak dahulu hingga kini, sama ada dalam versi arab (Ilahi lastu...) mahupun versi melayu seperti tertera di atas. Ada yang meriwayatkan ianya adalah ratapan para sufi terdahulu, ada yang menisbahkan kepada Rabi’atul ’Adawiyah dan sebagainya, Wallahu a’lam.

Siapapun yang mengajarkan ungkapan tersebut, bagaimanapun alunan dan iramanya, yang penting bait-bait syair tersebut sarat dengan harapan yang menggunung. Pengharapan seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Pengampun, agar menerima diri Sang Hamba sebagai ahli syurga, agar Sang Hamba terselamat daripada azab neraka yang ganas, dan setulus harapan agar keampunan Allah SWT dapat menghapuskan dosa-dosanya.
Apabila ada pengharapan, lazimnya ianya adalah antara dua pihak: pihak yang mengharap, dan pihak yang diharapkan. Secara tabi’i pula, pihak yang mengharap berpada pada posisi lemah, di bawah, serba kekurangan dan pasrah. Manakala pihak yang diharapkan berada pada kedudukan berkuasa, gagah, penuh upaya dan kudrat serta memiliki iradat dan belas ihsan.

Kerana itulah, di antara adab berdoa kepada Allah SWT, adalah meletakkan pengharapan yang bulat kepada Allah SWT, pasrah sepenuhnya kepada Tuhan yang Maha Suci lagi Maha Tinggi, Zat yang memiliki segala Keagungan dan Kekuatan, yang Maha Pengasih dan Penyayang, dan pasti Mendengar ratapan hambaNya, dan berjanji akan menunaikan do’a yang tulus dan ikhlas, kerana Allah tidak akan memungkiri janjiNya.

Ertinya, apabila kita mengharap kepada Allah SWT, hati kita perlu sepenuhnya meyakini dan mengharap bahawa Allah SWT pasti memenuhi harapan dan do’a kita, kerana Allah Maha Kuat, Maha Kuasa, tidak berkehendak kepada sekutu atau kelulusan sesuatu yang lain dalam mengaturkan urusannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Mukmin ayat 60, mafhumnya:

”Berdo’alah kepadaKu, pasti Aku tunaikan untuk kamu”


Inilah bentuk terunggul atau ideal antara sang pengharap dengan Yang Maha Memenuhi Harapan. Apabila hubungan antara kedua-duanya kukuh, mantap dan teguh, maka segala harapan akan menjadi kenyataan, dengan izin Allah SWT.

Yang mengharap akan merasakan dirinya sebagai hamba yang serba lemah, kerdil dan kekurangan, tiada daya dan kekuatan, kecuali dengan Allah SWT. Penyerahan yang total ini menjadikan dirinya benar-benar ’Hamba Allah’ dalam ertikata yang sebenarnya. Hakikat hamba pada zaman dahulu, hatta nyawa dan kehormatannya pun dimiliki oleh tuan, apatah lagi tenaga, keringat, masa dan sebagainya, semua dicurahkan untuk memenuhi keperluan tuan yang memilikinya.

Maka apabila kita ingin Allah SWT memenuhi harapan dan do’a kita, maka kita juga perlu memenuhi ciri-ciri kehambaan kepada Allah SWT. Adakah kita benar-benar telah menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah SWT? Masa kita, tenaga dan keringat kita, ke mana disalurkan? Wang ringgit, harta dan kekayaan kita, ke mana dibelanjakan? Usaha dan pemikiran kita, ke mana dicurahkan? Apakah kepada Allah SWT, atau kepada tujuan-tujuan yang lain?

Malulah kita kepada Allah SWT, jika kita hanya mengharapkan Allah SWT memenuhi segala pengharapan kita, tetapi dalam waktu yang sama, kita tidak memenuhi kriteria, KPI atau ’harapan’ Allah SWT kepada kita. Di manakah akhlaq kita dengan Allah SWT, jika hanya Allah SWT sahaja yang memenuhi keperluan kita, tetapi kita tidak ambil pusing keperluan kita untuk menjadi hamba Allah SWT?

Menjadi hamba Allah SWT juga bererti kita akan ’merdeka’ daripada yang lain selain Allah SWT. Inilah sebahagian daripada tuntutan kalimah tayyibah yang sering dilafazkan,
”la Ilaha illa Allah – tiada tuhan selain Allah”
Ertinya, tiada tempat pengharapan mutlak, kecuali kepada Allah SWT. Tiada yang kita aman dan selesa meletakkan harapan dan permintaan, selain Allah SWT.


Implikasinya, jiwa ’hamba Allah’ tersebut akan merdeka daripada makhluq, kerana makhluq bersifat lemah, tidak mampu memenuhi segala harapan, bahkan seringkali mengecewakan sesama makhluq dalam urusan penghidupan.

Jiwa merdeka ini, akan menjadi penawar kepada kekecewaan apabila harapan tak tercapai. Ia juga ubat kepada perasaan sedih kerana perlakuan manusia kepada kita, serta penyembuh segala penyakit hati kerana perbuatan manusia terhadap kita. Jiwa merdeka sentiasa merasakan :

”Aku masih punyai Allah SWT yang Maha Kuasa,
mengatasi kamu semua yang menyusahkanku”


Jiwa merdeka ini adalah jiwa hamba Allah SWT yang sebenar, kerana ianya benar-benar menjadi Hamba Allah SWT dan merdeka daripada kekangan, kongkongan dan ikatan lain selain ikatan aqidahnya dengan Allah SWT. Apabila bebas dari ikatan dunia yang menipu ini, maka nescaya jiwa itu akan berada dalam genggaman Allah SWT yang Maha Kuasa, dan tiadalah yang lebih kuasa daripada Allah SWT. Jiwa merdeka inilah jiwa yang kuat, yang memiliki kekuatan untuk mencapai dan memenuhi harapannya, bersandarkan kekuatan Allah SWT.

Sebaliknya, jiwa yang tidak merdeka, akan sentiasa terbelenggu dengan ikatan-ikatan lain yang melemahkan, dan akan menjadi hamba dan pengemis kepada manusia dan makhluq lain yang serba lemah. Hendak dapat projek, kena jadi pengemis kepada pihak berkuasa, nak dapat biasiswa, kena dapat pengesahan dan segala macam syarat, nak dapat kerja kena merendah diri, merayu dan sebagainya, dan akhirnya, nak dapat sesuap makan, perlu mengemis dan menghina diri sesama insan. Di manakah kemerdekaan jiwa seperti ini?

Penuhilah harapan kita, dengan menjadikan jiwa kita merdeka daripada makhluq, dan mengharap sepenuhnya kepada Allah SWT, kerana Allah sebaik-baik yang memenuhi harapan kita.

Renunglah sabda Rasulullah SAW, dalam Hadith ke 38 Matan Arbain An-Nawawi, mafhumnya:
”Sesungguhnya Allah berfirman, ’barangsiapa yang memusuhi para WaliKu, maka Aku nyatakan perang kepadanya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Kucintai daripada apa yang telah Aku wajibkan. HambaKu tidak henti-hentinya mendekatiKu dengan ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya, maka ketika Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, Aku menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, Aku menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, Aku menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Seandainya ia meminta kepadaKu, nescaya akan Kuberi, dan seandainya ia memohon perlindunganKu, pasti Aku akan melindunginya” [Bukhari]

0 Response to "MEMENUHI HARAPAN"

Post a Comment

Powered by Blogger