Bagaimana Akhir kita?

Oleh: Muhammad As Suhaimi bin Shuhardi


"Adik - adik Selepas alam dunia kita akan ke mana?"

"Alam kubur...!!!" jawab mereka beramai - ramai

Alhamdulillah anak anak ini minda mereka sangat cerdas, apa yang disampaikan cepat sahaja mereka dapat, Ini lah yang dianamakan anak - anak seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya, corak di atas kain putih ini masih banyak ruang perlu dilorekkan.

"Jadi adik - adik sudah bersedia?" saya menyoal kembali.


Alam kubur adalah pemulaan kepada sebuah pengakhiran yang tidak akan berakhir lagi. setelah kita telah menempuh takah kehidupan bermula dari alam roh dan menempuh alam rahim dan dilahirkan ke dunia ini dengan penuh susah payah dan kasih sayang oleh ibu kita dan diasuh, dan selepas itu kita menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab atas diri sendiri. yang menentukan pilihan dosa dan pahala,sehingga masa yang dijanjikan tiba, masa kematian kita,

Persoalannya adakah kita bersedia?

kita saya mencari dan menyiapkan bahan untuk kuliah kem little khalifah bagi anak anak staf koperasi muslimin, saya terjumpa satu klip video di youtube,



sungguh dahsyat melihat hamba Allah ini sedang menghadapi sakaratul maut, mana sangka sedang cergas berlari di padang bola sepak, tiba - tiba ditarik nyawa seperti direntap kasar. mana mungkin badan manusia dapat melakukan sesuatu seperti itu kecuali ada sesuatu yang merentapnya..!!!

Suatu petang saya melihat Pak long saya sedang meracun lalang, racun cecair itu berwarna hijau dan berbau tengik, sudah menjadi sifat saya ingin tahu dan cuba untuk memegang botol racun lalang itu, belum sempat untuk menyentuh paklong telah menegah saya, "jangan sentuh, bahaya racun itu macam jatuh motosikal"
racun lalang sangat merbahaya dan kalau tersentuh kulit boleh menyebabkan melepuh. menyentuhnya pun tak boleh apatah lagi meminumnya, dan manusia tak akan meminum racun hanya orang sudah tidak waras meminum racun.

begitu juga dosa, dosa itu ibarat racun, jadi hanya orang tidak waras sahaja akan buat dosa.

Dan mari kita menyoal diri kita. bagai mana akhirnya perjalanan hidup kita nanti setelah berapa banyak gelas racun dosa yang telah kita teguk?

MEMBERI MAKNA KEHIDUPAN

Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:20)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias

Cuba kita tanyakan kepada sepuluh orang, tentang makna kehidupan. Pasti kita perolehi pelbagai jawaban dan erti kehidupan. Kehidupan begitu sukar difahami maknanya, kerana jalan kehidupan itu tidak semudah garisan yang lurus.

Mungkin ada yang mengumpamakan hidup seperti bahtera, yang sedang melayari lautan yang luas dan penuh gelora. Tidak kurang juga yang melihat hidup ini sebagai satu perjuangan yang tidak berkesudahan, yang hanya akan henti bila nyawa berpisah dari jasad.

Jangan juga kita terkejut jika ada yang menerima kehidupan seadanya, kita hidup, makan-minum, tidur-baring, kerja-buat hanyalah sekadar mengisi masa dan menghabiskan usia, terkadang tanpa fokus dan matlamat yang jelas.

Begitulah makna kehidupan, yang bergantung kepada bagaimana seseorang menilai dan malaluinya. Nilai kehidupan banyak bergantung kepada nilai yang dianuti dan dipegang oleh mereka. Bagi mereka yang memandang tinggi nilai kehidupan, maka akan lebih bermakna dan bernilailah kehidupan itu baginya dan juga kepada orang lain.

Sebaliknya, mereka yang tidak memberi nilai kepada kehidupan, atau dirinya sendiri tidak punyai nilai untuk disuntikkan kepada kehidupan, maka hidup ini akan penuh masalah dan persoalan.

Perkara ini telah banyak dibincangkan oleh para pemikir Islam, yang menyebutnya sebagai ’krisis nilai’ yang sedang melanda ummah. ’Krisis Nilai’ ini telah lama melanda umat Islam, sejak negara bangsa uamt Islam ini terjajah dan terbelenggu oleh kuasa dan pemikiran barat suatu ketika dulu.

Umat Islam yang sebelum itu meletakkan nilai yang tinggi kepada Iman, Islam dan Ihsan, serta sentiasa mengejar kebahagiaan di akhirat, akhirnya terjerumus ke kancah kekeliruan dalam menilai kehidupannya. Penyusupan nilai-nilai barat dan sekularisme yang melanda bangsa terjajah, membawa padah kepada ummah. Akhirnya umat Islam terbelenggu dengan ’krisis nilai’ ini, dan kesannya masih terasa hingga kini.

Umat Islam masih lagi menjadi bangsa yang inferior, melihat dan menilai kehebatan ada pada orang lain, tapi tidak pada dirinya. Umat Islam manjadi banga peniru, memimik dan memuja apa jua budaya dan nilai barat yang tiba kepada mereka. Akhirnya, umat ini menjadi bangsa yang keliru dan tidak punyai jati diri.

Kelahiran generasi yang keliru dengan nilai diri ini mencetuskan tindakbalas berangkai yang menumbuhkan pelbagai masalah dan krisis masyarakat. Kita kini berhadapan dengan generasi yang tidak lagi kenal nilai dan harga diri. Lahirnya kelompok umat yang terputus dari akar sejarah dan pohon budaya silam yang penuh dengan ketinggian nilai dan kemurnian budi, tidak menambah apa-apa kebaikan selain kerosakan semata.

Bangsa yang tidak kenal diri, buta sejarah dan lupa diri ini menanti saat sahaja untuk berlakunya pelbagai kerosakan dan kemusnahan, seperti peristiwa yang pernah menimpa umat-umat terdahulu di dalam lintasan sejarah kemanusiaan.

Mungkin inilah punca dan titik tolak kepada pelbagai fenomena dan problema yang sedang melanda umat kita. Gejala sosial, keruntuhan akhlak, seks luar nikah, pembuangan bayi, keruntuhan institusi keluarga, kebejatan dan kejahatan moral, hilang budi bahasa dan pelbagai lagi krisis yang sedang kita hadapi, wajar direnungi puncanya.

Jika diamati sungguh-sungguh, maka ianya berkait rapat dengan krisis nilai yang diwarisi sejak zaman penjajahan lagi. Kita telah membesar menjadi bangsa yang hilang jati diri, terputus dari akar budi Islam, dan buta sejarah kegemilangan Ummah Islam zaman-berzaman.

Oleh itu, krisis nilai ini perlu ditangani segera agar kita kembali punyai nilai dan makna kehidupan. Hidup ini perlu diberi nilai, dan nilai terbaik yang menjadi sandaran kita semestinya Nilai Allah SWT. Kita perlu kembali mengambil nilai dan neraca Allah SWT di dalam kehidupan kita.

Apa yang dinilai mulia dan baik oleh Allah SWT, maka kita juga perlu mengambilnya sebagai kebaikan dalam hidup ini. Dan apa jua yang diberi nilai buruk dan keji oleh Allah SWT, maka kita perlu juga menolaknya dari mencemari kehidupan kita.

Kita juga perlu kembali mengenali nilai diri kita. Menyemak kembali akar budi bangsa kita. Menyambung kembali untaian sejarah silam umat terdahulu dan berusaha menyemarakkan kembali nilai murni ini dalam kehidupan generasi kini.

Apabila kita punyai nilai yang jitu ini, maka nilai kehidupan kita juga akan berubah. Hidup akan jadi lebih bermakna. Makna kehidupan inilah yang akan memberi impak dan pengaruh kepada masyarakat. Masyarakat yang kembali kepada nilai hidup sebenar, akan menemui kembali jati dirinya.

Apabila manusia kembali kepada jati dirinya, maka dia akan kembali kepada hakikat dirinya sebagai Hamba Allah SWT. Manusia yang kenal dirinya sebagai hamba, akan sedar diri, tidak sombong takbur, jahat dan perosak. Manusia yang kembali kepada nilai Allah SWT, akan berjaya meloloskan diri dari krisis nilai. Maka akhirnya manusia ini mampu memberi makna kepada kehidupannya.

Benarlah ungkapan yang masyhur:
”Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya”
(Man ’arafa nafsahu fa qad ’arafa Rabbahu)

MENGURUSKAN HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:18)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


Setiap insan punyai harapan. Bahkan harapan adalah salah satu naluri atau perasaan yang tertanam di dalam diri kita yang bergelar insan. Harapan menumbuhkan tekad dan usaha, dan putus harapan mengundang kekecewaan, duka dan nestapa.

Harapan juga disebut ’Asa’, terutama oleh penutur negara tetangga kita, Indonesia. Berbeza dengan kita yang menggunakan kalimat asa secara negatif, seperti ’putus asa’, saudara kita di sana menggunakan kalimat asa secara positif, seperti mana serangkap nasyid yang pernah saya dengar dari seberang:
”Sinsingkan lengan baju.....
Panjangkan asa.....
Binalah hari esok....
Untuk mencapai jaya....”

Justeru, harapan atau asa ini perlu diuruskan, kerana ianya ibarat tenaga pendam dalaman, yang menanti saat dan tika untuk meledak menghasilkan letusan kejayaan dalam kehidupan. Seseorang yang punyai harapan yang tinggi menggunung, pasti bermotivasi untuk melakukan gerakerja yang menjurus ke arah merealisasikan harapan tersebut. Sebaliknya, mereka yang mudah berputus asa, akan tewas sebelum berjuang lagi!

Jika diturutkan hati dan nafsu, pastinya harapan manusia tidak akan kenal had atau siling. Manusia berharap akan hidup selama-lamanya, berharap dapat kahwin anak raja, berharap dapat harta seperti Qarun, berharap berkuasa sehebat Sulaiman, dan macam-macam lagi pengharapan yang terlintas di fikirannya.

Harapan yang terlalu menggunung, tanpa berjejak ke bumi nyata, akan mengundang parah jika tak kesampaian. Ia akan jadi seperti Mat Jenin, yang berharap menjadi kaya dengan hanya berangan-angan di atas pokok kelapa, dan akhirnya sakit sendirian bila jatuh bersama-sama buah kelapa ke bumi.

Ada juga yang kecewa, kerana cinta dan harapan mendalam terhadap seseorang yang disukainya, bertukar menjadi mimpi ngeri, apabila kasih tidak berbalas, atau cinta terlarang oleh keluarga, atau maut memisahkan dua insan bercinta ini. Jika ketika harapan percintaan ini berderai oleh pelbagai faktor tersebut, jiwa gagal diurus dengan baik, putus harapan ini bisa mengundang putus nyawa, bunuh diri dan tindakan lain yang membahayakan pasangan kekasih tersebut.

”Nasi lemak buah bidara....
Sayang selasih hamba lurutkan....
Tinggal emak, tinggal saudara....
Kerana kasih hamba turutkan....”
Menguruskan harapan perlu beberapa kemahiran:
- kemahiran mengenalpasti kemahuan dan harapan kita
- kemahiran menilai realiti dan keupayaan kita
- kemahiran penyesuaian antara kemahuan dan keupayaan
- kemahiran menguruskan jurang antara harapan dan kenyataan
- kemahiran menukar halangan kepada peluang
- penyerahan yang total kepada taqdir, Qadha dan Qadar Allah SWT

Jika dituruti langkah-langkah di atas, maka kita akan bijak menyesuaikan harapan kita, agar selaras dengan keupayaan dan realiti. Mengharap sesuatu yang mustahil dicapai, atau di luar jangkauan kita, pastinya akan menempah kegagalan dan kekecewaan. Sebaliknya, jika kita bijak meletakkan sasaran dan matlamat yang ’mampu-capai’, maka setiap hari kita akan menghitung kejayaan demi kejayaan, yang pastinya meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi kita untuk terus berusaha dan berjaya.

Apa yang telah dibincangkan adalah harapan yang boleh diurus oleh diri sendiri, seperti harapan untuk melanjutkan pelajaran, harapan untuk berjaya dalam peperiksaan, harapan untuk mengejar kerjaya dan kekayaan dan sebagainya. Semua ini adalah perkara yang di dalam ’genggaman tangan kita’. Berjaya atau gagal kita mengejar harapan itu, bergantung sepenuhnya kepada usaha dan kerja yang kita lakukan, ditambah dengan doa dan tawakkal kepada Allah SWT.

Tetapi bagaimana pula harapan yang melibatkan pihak lain? Kita berharap mendapat ketua yang adil, kita berharap mendapat kekasih dan teman hidup sejati, kita mengharapkan usaha kita dihargai, dan segala macam pengharapan yang melibatkan insan lain.

”Harapkan pagar, pagar makan padi....”

Ini satu pepatah yang menggambarkan, adakalanya pengharapan kepada orang lain, sukar dijangkakan. Kekecewaan lebih banyak berlaku di dalam perhubungan antara dua pihak, berbanding mereka yang hanya kecewa dengan diri sendiri. Putus asa akan datang, bilamana asa kita tidak bersambut oleh pihak lain. Dalam situasi ini, apa yang boleh dilakukan?

Ada juga kes, mereka yang kecewa dengan organisasi, kecewa dengan sistem yang ada, atau kecewa dengan masyarakat sekeliling. Kita sering mendengar ucapan para pemimpin mengenai kekecewaan mereka terhadap masyarakat, seperti ”kemudahan dunia pertama, tetapi mentaliti dunia ketiga!”. Jelas sekali, kekecewaan itu kerana adanya jurang antara harapan dan kenyataan.

Kekecewaan bukanlah sesuatu yang negatif secara mutlak, bahkan jika diambil secara positif, ia boleh ditukar menjadi tenaga yang kuat untuk menjana kebangkitan mereka yang pernah tewas. Kekecewaan memberi ruang kita menilai kembali kekuatan diri, mengukuhkan kembali sendi-sendi yang longgar, memantapkan yang lemah dan merancang keupayaan dan kekuatan baru. Kekecewaan bukan untuk ditangisi, tetapi untuk direnungi dan difahami. Kekecewaan bukan diubati dengan tangisan (walaupun tangisan juga perlu untuk melepaskan perasaan), tetapi dirawat dengan keazaman dan ketinggian himmah dan perasaan. Seseorang yang bijak menguruskan kekecewaan, dan bangkit dari kejatuhan, insyaAllah akan beroleh hikmah dalam menguruskan harapan.

Tidak semua harapan sendiri dapat digapai. Tidak semua harapan orang lain terhadap kita perlu dipenuhi. Namun jangan jemu untuk sentiasa mengharapkan yang terbaik.

Di dalam Islam, salah satu sifat seorang mukmin, adalah Raja’ (pengharapan) kepada Allah SWT. Harapan kepada Allah SWT tidak akan dikecewakan, kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kita meletakkan harapan.

”Harapkan bunga, bunga kan layu...
Harapkan manusia, suka menipu...
Harapkan harta, akan binasa...
Harapkan Allah, tidak akan kalah....”

MEMENUHI HARAPAN


Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:19)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias


”Tuhanku!
Aku tidak layak untuk syurgaMu
Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa nerakaMu
Dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku
Ampunkanlah dosaku
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar”


Begitulah bait-bait syair lama yang sering dilagukan sejak dahulu hingga kini, sama ada dalam versi arab (Ilahi lastu...) mahupun versi melayu seperti tertera di atas. Ada yang meriwayatkan ianya adalah ratapan para sufi terdahulu, ada yang menisbahkan kepada Rabi’atul ’Adawiyah dan sebagainya, Wallahu a’lam.

Siapapun yang mengajarkan ungkapan tersebut, bagaimanapun alunan dan iramanya, yang penting bait-bait syair tersebut sarat dengan harapan yang menggunung. Pengharapan seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Pengampun, agar menerima diri Sang Hamba sebagai ahli syurga, agar Sang Hamba terselamat daripada azab neraka yang ganas, dan setulus harapan agar keampunan Allah SWT dapat menghapuskan dosa-dosanya.
Apabila ada pengharapan, lazimnya ianya adalah antara dua pihak: pihak yang mengharap, dan pihak yang diharapkan. Secara tabi’i pula, pihak yang mengharap berpada pada posisi lemah, di bawah, serba kekurangan dan pasrah. Manakala pihak yang diharapkan berada pada kedudukan berkuasa, gagah, penuh upaya dan kudrat serta memiliki iradat dan belas ihsan.

Kerana itulah, di antara adab berdoa kepada Allah SWT, adalah meletakkan pengharapan yang bulat kepada Allah SWT, pasrah sepenuhnya kepada Tuhan yang Maha Suci lagi Maha Tinggi, Zat yang memiliki segala Keagungan dan Kekuatan, yang Maha Pengasih dan Penyayang, dan pasti Mendengar ratapan hambaNya, dan berjanji akan menunaikan do’a yang tulus dan ikhlas, kerana Allah tidak akan memungkiri janjiNya.

Ertinya, apabila kita mengharap kepada Allah SWT, hati kita perlu sepenuhnya meyakini dan mengharap bahawa Allah SWT pasti memenuhi harapan dan do’a kita, kerana Allah Maha Kuat, Maha Kuasa, tidak berkehendak kepada sekutu atau kelulusan sesuatu yang lain dalam mengaturkan urusannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Mukmin ayat 60, mafhumnya:

”Berdo’alah kepadaKu, pasti Aku tunaikan untuk kamu”


Inilah bentuk terunggul atau ideal antara sang pengharap dengan Yang Maha Memenuhi Harapan. Apabila hubungan antara kedua-duanya kukuh, mantap dan teguh, maka segala harapan akan menjadi kenyataan, dengan izin Allah SWT.

Yang mengharap akan merasakan dirinya sebagai hamba yang serba lemah, kerdil dan kekurangan, tiada daya dan kekuatan, kecuali dengan Allah SWT. Penyerahan yang total ini menjadikan dirinya benar-benar ’Hamba Allah’ dalam ertikata yang sebenarnya. Hakikat hamba pada zaman dahulu, hatta nyawa dan kehormatannya pun dimiliki oleh tuan, apatah lagi tenaga, keringat, masa dan sebagainya, semua dicurahkan untuk memenuhi keperluan tuan yang memilikinya.

Maka apabila kita ingin Allah SWT memenuhi harapan dan do’a kita, maka kita juga perlu memenuhi ciri-ciri kehambaan kepada Allah SWT. Adakah kita benar-benar telah menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah SWT? Masa kita, tenaga dan keringat kita, ke mana disalurkan? Wang ringgit, harta dan kekayaan kita, ke mana dibelanjakan? Usaha dan pemikiran kita, ke mana dicurahkan? Apakah kepada Allah SWT, atau kepada tujuan-tujuan yang lain?

Malulah kita kepada Allah SWT, jika kita hanya mengharapkan Allah SWT memenuhi segala pengharapan kita, tetapi dalam waktu yang sama, kita tidak memenuhi kriteria, KPI atau ’harapan’ Allah SWT kepada kita. Di manakah akhlaq kita dengan Allah SWT, jika hanya Allah SWT sahaja yang memenuhi keperluan kita, tetapi kita tidak ambil pusing keperluan kita untuk menjadi hamba Allah SWT?

Menjadi hamba Allah SWT juga bererti kita akan ’merdeka’ daripada yang lain selain Allah SWT. Inilah sebahagian daripada tuntutan kalimah tayyibah yang sering dilafazkan,
”la Ilaha illa Allah – tiada tuhan selain Allah”
Ertinya, tiada tempat pengharapan mutlak, kecuali kepada Allah SWT. Tiada yang kita aman dan selesa meletakkan harapan dan permintaan, selain Allah SWT.


Implikasinya, jiwa ’hamba Allah’ tersebut akan merdeka daripada makhluq, kerana makhluq bersifat lemah, tidak mampu memenuhi segala harapan, bahkan seringkali mengecewakan sesama makhluq dalam urusan penghidupan.

Jiwa merdeka ini, akan menjadi penawar kepada kekecewaan apabila harapan tak tercapai. Ia juga ubat kepada perasaan sedih kerana perlakuan manusia kepada kita, serta penyembuh segala penyakit hati kerana perbuatan manusia terhadap kita. Jiwa merdeka sentiasa merasakan :

”Aku masih punyai Allah SWT yang Maha Kuasa,
mengatasi kamu semua yang menyusahkanku”


Jiwa merdeka ini adalah jiwa hamba Allah SWT yang sebenar, kerana ianya benar-benar menjadi Hamba Allah SWT dan merdeka daripada kekangan, kongkongan dan ikatan lain selain ikatan aqidahnya dengan Allah SWT. Apabila bebas dari ikatan dunia yang menipu ini, maka nescaya jiwa itu akan berada dalam genggaman Allah SWT yang Maha Kuasa, dan tiadalah yang lebih kuasa daripada Allah SWT. Jiwa merdeka inilah jiwa yang kuat, yang memiliki kekuatan untuk mencapai dan memenuhi harapannya, bersandarkan kekuatan Allah SWT.

Sebaliknya, jiwa yang tidak merdeka, akan sentiasa terbelenggu dengan ikatan-ikatan lain yang melemahkan, dan akan menjadi hamba dan pengemis kepada manusia dan makhluq lain yang serba lemah. Hendak dapat projek, kena jadi pengemis kepada pihak berkuasa, nak dapat biasiswa, kena dapat pengesahan dan segala macam syarat, nak dapat kerja kena merendah diri, merayu dan sebagainya, dan akhirnya, nak dapat sesuap makan, perlu mengemis dan menghina diri sesama insan. Di manakah kemerdekaan jiwa seperti ini?

Penuhilah harapan kita, dengan menjadikan jiwa kita merdeka daripada makhluq, dan mengharap sepenuhnya kepada Allah SWT, kerana Allah sebaik-baik yang memenuhi harapan kita.

Renunglah sabda Rasulullah SAW, dalam Hadith ke 38 Matan Arbain An-Nawawi, mafhumnya:
”Sesungguhnya Allah berfirman, ’barangsiapa yang memusuhi para WaliKu, maka Aku nyatakan perang kepadanya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Kucintai daripada apa yang telah Aku wajibkan. HambaKu tidak henti-hentinya mendekatiKu dengan ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya, maka ketika Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, Aku menjadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, Aku menjadi tangannya yang ia gunakan untuk berbuat, Aku menjadi kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Seandainya ia meminta kepadaKu, nescaya akan Kuberi, dan seandainya ia memohon perlindunganKu, pasti Aku akan melindunginya” [Bukhari]

MENGHARGAI MINDA




Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:17)
Oleh: Ir. Ahmad Jais Alias

Di antara kurniaan Allah SWT yang paling berharga kepada kita adalah Aqal. Perbezaan utama manusia daripada haiwan dan makhluk lain adalah keupayaan otak kita untuk berfikir dan memahami, atau juga disebut keupayaan aqal atau kekuatan minda.

Bahkan di dalam surah al-An’am, Allah SWT menempelak mereka yang tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan minda untuk melihat, merenung, mendengar, memahami dan menghayati segala penciptaan dan kejadian Allah SWT disekeliling kita ini, diumpamakan seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi.

Justeru, mukmin yang bijak, yang memiliki kekuatan minda, perlu menggunakan segala kekuatan pancaindera yang dikurniakan Allah SWT ini untuk menjana minda positif. Minda positif ini telah kita bicarakan pada keluaran yang lalu.

Seorang pengkaji minda barat, Howard Gardner namanya, cuba menjelaskan kepada kita bahawa memiliki minda positif bererti keupayaan kita untuk menjana juzuk-juzuk minda kita agar mencapai tahap yang terbaik. Beliau membahagikan minda kepada beberapa juzuk:

• Disciplined mind
• Synthesizing mind
• Creating mind
• Respectful mind
• Ethical mind

Disciplined mind adalah keadaan seseorang yang menggunakan mindanya sebagai asas dan pengawal kepada disiplin dan tingkahlaku sehariannya. Sorang yang memiliki ‘minda berdisiplin’ yang tinggi, akan lebih teratur urusan dan kehidupannya berbanding mereka yang tidak berdisiplin. Minda berdisiplin juga melahirkan manusia yang berperaturan dan mudah mematuhi syariat dan undang-undang. Setiap kerja dan usaha dirancang secara rapi, penuh tertib dan persiapan yang rapi. Hasilnya, tugasan dan tanggungjawab yang diberikan akan dapat dilaksanakan secara sempurna dan baik.

Memiliki minda berdisiplin adalah baik, tetapi untuk terus maju dan menghasilkan mutu kerja yang baik, kita perlukan Synthesizing mind. Minda ini bermaksud keupayaan seseorang untuk mencerna suatu yang lebih baik dan bermutu, daripada adunan ramuan dan komponen yang lain. Ibarat proses fotosintesis yang dilakukan oleh tumbuhan, yang menghasilkan oksigen dan karbohidrat, daripada komponen Karbon Dioksida, Air dan juzuk2 tanah yang lain, dengan bantuan cahaya matahari. Fotosintesis adalah proses yang amat penting, bahkan menjadi proses pertama di dalam rantaian makanan semua makhluk di atas mukabumi ini. Maka begitu juga memiliki minda sintesis, akan menjadikan kita seorang yang produktif, sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru, yang bermanfaat kepada orang lain. Mereka yang memiliki minda sintesis sentiasa suka memberi sesuatu kepada orang lain, dan dapat menjana sesuatu yang positif dari kepelbagaian sumber yang dimilikinya.

Untuk menjadi produktif dan terus berkarya, maka kita perlukan pula Creating mind. Minda ini adalah minda yang kreatif, innovatif dan sentiasa menghasilkan sesuatu yang baru. Minda kreatif selalunya berfikir di luar dari kotak fikiran yang biasa, dan datang dengan segala macam idea, ilham, cadangan dan saranan yang menarik untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara. Mereka yang memiliki minda kreatif akan mampu menghadapi masalah dengan baik, dan selalunya akan menjadi seorang perekacipta yang baik.

Namun, jika terlalu kreatif tanpa panduan, akan mengundang masalah pula, bila mana ciptaan, kreativiti dan idea kita sukar diterima oleh orang lain. Keupayaan untuk menerima perbezaan pendapat dan idea ini memerlukan Respectful mind, iaitu keupayaan untuk menghormati orang lain. ‘Minda Penghormatan’ ini menjadi asas kepada budi bahasa dan sopan santun. Mereka yang memiliki respectful mind ini akan dapat mengawal diri untuk menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Mereka juga terdidik untuk menghormati peraturan, syariah, undang-undang, adat dan norma masyarakat, dan semua ini dapat mengelakkan berlakunya konflik dan kontroversi di dalam masyarakat. Apabila minda ini semakin melemah, maka kita dapat saksikan kepincangan di dalam peradaban masyarakat dan bangsa tersebut.

Akhirnya, yang menjadi kayu ukur kita untuk menghormati sesuatu atau tidak adalah Ethical mind. Minda berEtika ini adalah minda yang mempunyai kayu ukur yang jelas, iaitu nilai-nilai murni dan etika dalam kehidupan. Mereka yang mempunyai nilai etika yang tinggi, pastinya akan mempunyai kekuatan dalaman untuk menolak segala bentuk kejahatan, kezaliman, kecurangan, korupsi dan diskriminasi. Etika muslim mengajar kita mengambil neraca Allah SWT sebagai ukuran. Bagi kita, apa yang Allah SWT kata baik, maka itulah baik untuk kita, dan begitu juga sebaliknya. Etika menjadi seseorang memiliki harga diri yang tinggi, yang tidak mudah dijualbeli oleh harga dunia yang rendah. Etika juga menjadikan seseorang mempunyai tujuan dan arah hidup yang jelas, dan dapat menewaskan nafsu dan rangsangan luar yang merosakkan. Etika juga melahirkan peribadi unggul, yang berpegang kepada nilai-nilai kebenaran dan keadilan sejagat. Masyarakat beretika akan menjadi masyarakat yang adil, toleransi dan pertengahan, tidak ekstrim mahupun melampau.

Justeru, kita perlu membangunkan potensi diri kita agar memiliki dan meningkatkan kesemua komponen minda ini. Kita perlu melatih dan mendidik diri kita agar memiliki minda berdisiplin, boleh melakukan sintesis, kreatif, menghormati orang lain dan beretika. Sistem pendidikan juga perlu mengambilkira semua potensi diri ini yang perlu dibangunkan.

Kita juga perlu seimbang di dalam menguruskan minda. Janganlah atas nama kreativiti, kita melanggar segala adat resam dan nilai-nilai murni masyarakat, dan gagal menghormati norma dan peraturan sedia ada. Begitu juga, oleh kerana terlalu menekankan aspek disiplin hingga merencatkan keupayaan untuk berkarya dan menghasilkan sesuatu, adalah suatu yang amat malang. Islam sentiasa menganjurkan keseimbangan dalam menguruskan minda kita.

Dengan keupayaan menguruskan minda ini, kita akan menjadi seorang yang positif, dan sentiasa menghasilkan sesuatu yang positif di dalam kehidupan kita. Minda positif, dan hasil positif daripada minda tersebut, akan membawa perubahan yang positif dalam kehidupan bermasyarakat. Kesan positif inilah yang perlu kita suburkan dan sebarkan di dalam konteks kehidupan hari ini.

Semoga kita semua berjaya menjana minda positif!




Powered by Blogger